Skip to main
Logo Malaysiakini

Hujan di kebanyakan tempat pada hari undi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hari hujan bagi kebanyakan tempat di seluruh negara pada hari mengundi 19 Nov ini.

Menurut ramalan cuaca terkini di laman web MetMalaysia, kebanyakan negeri, dari Sarawak, Selangor hingga ke Perlis akan mengalami cuaca cerah pada waktu pagi, tetapi hujan lebat pada sebelah petang.

Ramalan cuaca merangkumi ribut petir dengan hujan lebat kepada hujan renyai yang berterusan.

Lebih teruk lagi di Kelantan apabila kebanyakan daerah boleh menjangkakan cuaca mendung hujan sepanjang hari.

Di Pulau Pinang pula dijangka hujan pada sebelah pagi diikuti cuaca cerah pada petang.

Hujan yang diramalkan adalah selaras dengan amaran badan kaji cuaca itu bulan lalu apabila pakar mengatakan ia tidak sesuai untuk pilihan raya umum ke-15 diadakan semasa Monsun Timur Laut.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) (MetMalaysia) Dr Mohd Hashim Mohd Anip dilaporkan mencadangkan supaya pilihan raya umum tidak diadakan pada tahun ini, daripada sudut pandangan komuniti pengurusan bencana, kerana akan terdapat banyak lokasi di seluruh Malaysia yang akan menghadapi bencana banjir.

Hashim berkata musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November dan berakhir Mac tahun depan, berkemungkinan akan menyaksikan hujan lebat berterusan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, antara November dan Disember.