Skip to main
Logo Malaysiakini

Banding PRN, ramai boleh balik undi PRU15 di Johor - Akmal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kemungkinan peratusan keluar mengundi di Johor pada 19 Nov akan meningkat sebab ramai yang dapat pulang ke negeri itu tanpa sekatan perjalanan Covid-19, menurut calon PH Johor Bahru Akmal Nasir.

Bekas Pemuda PKR itu memetik pembukaan semula sempadan darat antara Johor Bahru dan Singapura sebagai faktor utama ke arah meningkatkan kadar keluar mengundi berbanding ketika pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini iaitu cuma 55 peratus sahaja.

“Pilihan raya negeri secara paksa itu diadakan semasa pandemik, dengan pergerakan terhad merentasi negeri dan negara.

“Memandangkan keadaan itu, ramai yang belajar atau bekerja di luar Johor termasuk di Singapura tidak pulang mengundi,” kata Akmal yang mempertahankan kerusi parlimen Johor Bahru dan dicabar calon BN, PN dan Pejuang.

Munasabah untuk menjangkakan kadar keluar mengundi lebih tinggi kali ini, kata Akmal di tengah-tengah kebimbangan terhadap kesan keletihan pengundi daripada beberapa siri pergolakan politik menjelang PRU15.

“Pada pandangan saya, masih ada cabaran yang perlu kita atasi untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi.

“Tetapi kerana keadaan kita sekarang, saya tidak fikir situasi sama pada Mac akan berulang,” katanya ketika ditemui di pusat operasi utama PKR di Larkin, Johor Bahru.

Dia berkata sekatan yang dikenakan pada masa itu sudah tidak lagi relevan hari ini.

Selain itu, dia berkata pengumuman yang dibuat oleh beberapa kerajaan negeri, termasuk Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH untuk memberikan cuti umum tambahan sebelum hari pengundian akan meningkatkan lagi jumlah keluar mengundi.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRU15.

Pemimpin PH Johor sebelum ini mengaitkan kadar keluar mengundi yang rendah sebagai faktor prestasi hambar gabungan itu, dengan PKR dan Amanah kehilangan beberapa kerusi kepada BN yang membentuk kerajaan negeri baru, dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN.

Antara lain, calon BN Mohd Hairi Mad Shah menawan kerusi DUN Larkin, satu dari dua kerusi di bawah kawasan parlimen Johor Bahru, yang sebelum ini dimenangi Bersatu pada PRU14 ketika menjadi komponen PH.

Johor Bahru merupakan satu dari lima kerusi di selatan Johor, semuanya dimenangi oleh PH pada PRU14, bersama-sama dengan kerusi parlimen Kulai yang bersebelahan.