Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid kata BN gabungan terbaik, Zaid angguk setuju

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BN adalah gabungan adalah terbaik untuk rakyat Malaysia, kata pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

Sebagai dalil, Zahid yang juga adalah presiden Umno berkata, tindakan peguam kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Zaid Ibrahim yang telah bersama-sama dengan beberapa parti, baik pembangkang, mahupun kerajaan kini kembali bersama Umno.

"Zaid Ibrahim semua parti dia masuk. Dulu Umno, masuk PKR, masuk DAP, masuk PAS sekarang dia masuk balik Umno.

"Sebab dia percaya pada BN dan tidak ada parti lebih baik di Malaysia. Parti yang terbaik adalah parti BN sahaja.

“Jadi dengan empat hari ini jangan goyang-goyang, kita hanya pangkah dacing pada hari Sabtu ini," katanya sambil menoleh ke arah Zaid yang senyum sambil mengganguk menadakan tanda setujunya dengan kenyataan Zahid.

Zaid berada di Bagan Datuk sempena majlis RumahTerbuka Deepavali, dan membantu kempen Zahid yang bertanding di kerusi ituu, malam tadi.

Zaid menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai Umno pada, 27 Ogos lalu dengan alasan berhasrat untuk membantu parti itu kerana mempunyai masa terluang selepas bersara.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu mula menyertai Umno pada 2000. Dia bertanding dan memenangi kerusi parlimen Kota Bharu pada pilihan raya umum 2004.

Bagaimanapun pada tahun 2008, Umno menggantung keahliannya.

Pada 2009, Zaid menyertai PKR tetapi meletak jawatan daripada parti itu setahun kemudian.

Dia kemudiannya menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) pada 2010 tetapi meletak jawatan sebagai presiden pada 2012.

Selepas Kita, Zaid menyertai DAP pada 2017 tetapi ini hanya bertahan selama kira-kira tiga tahun, sebelum meninggalkan parti politik keempatnya itu pada 2020.

Kerusi Parlimen Bagan Datuk kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Selain Zahid, calon-calon lain adalah Shamsul Iskandar Md Akin dari Pakatan Harapan (PH) Nik Muhammad Faiz Na'aman dari Perikatan Nasional (PN) dan Tawfik Ismail dari Gerak Independent (GI) - yang merupakan anak sulung timbalan perdana menteri kedua negara Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman.

Bagan Datuk adalah kubu kuat Zahid yang dipegangnya sejak 1995.

Dia mengekalkan kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 5,073 undi dan meraih 51.4 peratus undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov (hari ini).