Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk Sri Muda dakwa kecuaian punca banjir kilat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penduduk Taman Sri Muda memfailkan petisyen kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi menuntut pengurusan banjir yang lebih baik dengan mendakwa banjir kilat pada 8 November lalu berpunca daripada kecuaian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Presiden Persatuan Penduduk Zon D Taman Sri Muda, Andrew de Silva yang bercakap bagi mewakili penduduk membentangkan petisyen itu pada sidang media yang diadakan di hadapan kunci air Sungai Klang di Shah Alam.

“Banjir kilat yang melanda kita baru-baru ini boleh dielakkan dengan mudah kerana ada pegawai JPS Selangor yang biasanya mengawal pintu pagar di kunci air.

“Bagaimanapun, pegawai berkenaan tidak memantau pintu pagar pada hari itu dan lewat setengah jam kerana hujan lebat.

“Semasa dia tiba, Zon D Sri Muda sudah dinaiki air,” dakwanya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pejabat Menteri besar Selangor dan JPS Selangor berhubung dakwaan tersebut.

Petisyen itu turut mengandungi laporan mengenai banjir di kawasan tersebut yang dibuat oleh penduduk kepada pelbagai pihak seperti penyandang Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Fobia bila banjir lebat

Sekurang-kurangnya 10 laporan telah dibuat dan telah difailkan sejak 2019, walaupun penduduk mendakwa tidak banyak penambahbaikan dilakukan di kawasan itu.

“Isu banjir ini bukan bermula tahun lepas. Kita telah lama menderita dan ia jadi lebih teruk setiap tahun,” kata de Silva.

Petisyen itu juga menyebut mengenai faktor permasalahan yang menyebabkan banjir seperti longkang tersumbat, sampah sarap dan parit cetek.

Mereka mendakwa air dari Kota Kemuning dan Alam Megah mengalir ke Sri Muda apabila hujan turun berterusan.

Ini dikaitkan dengan dakwaan JPS sebelum ini gagal menguruskan banjir yang dikaitkan dengan Sungai Klang.

Setiausaha persatuan itu, Rosnah Mahmood mendakwa penduduk kini malah fobia terhadap hujan lebat.

“Setiap kali kita dengar guruh, setiap kali kita melihat betapa lebatnya hujan, perkara pertama yang kita lakukan ialah panik.

"Kami bimbang banjir kilat akan berlaku, dan kemudian kami panik tentang keadaan rumah kami, anak-anak dan harta benda kami," katanya.

Tahun lepas, Taman Sri Muda adalah antara kawasan yang dilanda banjir di Selangor, dengan kebanyakan rumah ditenggelami sedalam buku lali sehingga lebih 3m.

Ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan 14 kematian direkodkan.

Petisyen tersebut difailkan sejurus selepas kerajaan persekutuan mendakwa banjir yang melanda Taman Sri Muda sebagai "kuasa Tuhan" (Act of god).