Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa banjir Rantau Panjang tekad turun mengundi Sabtu ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan berkata mereka akan berusaha untuk tetap menunaikan tanggungjawab membuang undi 19 Nov ini jika kawasan mereka dinaiki air.

Bagaimanapun, mereka mengakui keterujaan untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini agak suram kerana terpaksa menghadapi situasi sukar akibat banjir.

Penduduk kampung, Zailani Hassan, berkata dia perlu melupakan semangat untuk berkempen dalam PRU ke-15 termasuk menghiasai pos parti sepanjang kempen.

"Saya berharap agar bah reda supaya dapat keluar mengundi seperti PRU sebelum ini.

"Ini adalah peluang terbaik untuk kami memilih pemimpin yang benar-benar layak. Sepatutnya, calon bertanding mengambil peluang mendekati rakyat ketika dalam musibah ini.

"Biar kami boleh lihat mana pemimpin yang benar-benar boleh susah dan senang bersama rakyat," katanya ketika ditemui di pusat perpindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang, Kelantan hari ini.

Harap pemimpin datang jenguk

Terdahulu, seramai 700 penduduk yang terkesan dengan banjir ekoran projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok menggesa pihak bertanggungjawab membuka pintu air dalam tempoh 24 jam.

Dalam satu demonstrasi aman hari ini, penduduk kampung minta supaya pintu air dibuka bagi mengelak kemusnahan harta benda mereka ataupun bakal berdepan laporan polis.

Wakil penduduk yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang (JKBRP), Norhisham Abdullah, berkata penduduk bersepakat membuat laporan polis jika masih tiada pihak yang tampil mengambil tindakan segera.

Roshidariza Abdullah

Seorang lagi mangsa, Roshidariza Abdullah, berkata dia perlu memikirkan soal kediamannya terlebih dulu berbanding bahang PRU ke-15.

"Ujian kami yang perlu berhadapan dengan banjir sangat besar, tiada ruang untuk kami berbincang tentang parti mahu dipilih.

"Buat masa sekarang apa yang diharapkan ialah pemimpin datang menjenguk kami yang dalam kesusahan.

"Bagaimana pun, saya akan cuba keluar mengundi pada 19 November ini memandangkan ia menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat," katanya ketika ditemui media.

Sementara itu, Ishak Kamaruddin, berharap banjir yang melanda mereka akan segera berlalu bagi membolehkan amanah kepada negara dapat dilaksanakan.

"Dari segi kemeriahan tu memanglah agak suram sedikit kerana dilanda banjir, namun saya akan cuba untuk keluar mengundi.

"Moga-moga banjir yang melanda kami ketika ini segera berlalu pergi," katanya lagi.