Dr M: Jangan percaya tinjauan kata 'PH pilihan utama pengundi'
Dr Mahathir Mohamad menolak tinjauan bebas Merdeka Centre yang mendapati Pakatan Harapan muncul pilihan utama pengundi dan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan bekas perdana menteri itu yang paling tidak diingini oleh pemilih dalam PRU15.
Pada sidang media di Ampang semalam, bekas perdana menteri itu berkata badan kaji selidik pendapat awam berkenaan tidak boleh dipercayai kerana tinjauan terdahulu pada 2018, adalah salah dalam meramalkan BN akan kembali berkuasa di Putrajaya.
"Tinjauan Merdeka Centre kata Pejuang akan dapat cuma satu wakil rakyat. Bukan main lagi. Awak tahu, Merdeka Centre pada PRU14 kata konon PH akan kalah, BN akan menang.
"Tetapi akhirnya yang menang adalah PH, BN kalah. Jadi Merdeka Centre jangan percaya sangatlah," katanya.
Bagi menjawab soalan itu, Mahathir berkata partinya tidak dapat menjangkakan berapa kerusi yang dapat ditawan GTA pada pengundian Sabtu ini.
"Kami cuma guna duit sendiri, jadi agak susah untuk beritahu berapa kerusi kami akan menang kerana petunjuk tidak selalunya tepat," jelasnya.
Mahathir juga memberitahu dia terpaksa menjual sahamnya untuk mendanai gerak kerja pilihan raya memandangkan partinya gagal untuk mendapat sebarang sumbangan.
"Yalah, tidak ada orang nak derma kepada kami. Orang tak berapa mesra dan juga kerana ekonomi tidak bagus dan semua billionaires dah jadi millionaires.
"Jadi, apa kami boleh buat? Kami perlu keluarkan apa-apa duit kami yang tak banyak jumlahnya itu. Sayapun kena jual saham, tapi saya tak akan beritahu awak berapa banyak," katanya lagi.
Menurut tinjauan Merdeka Center yang didedahkan pada awal November, PH mendahului BN sedikit dalam kecenderungan pilihan pengundi pada PRU15.
Tinjauan itu menunjukkan 26 peratus responden memilih PH berbanding BN dengan 24 peratus, diikuti oleh PN sebanyak 13 peratus. Empat peratus pula enggan menjawab soalan tinjauan manakala dua peratus berkata mereka akan menyokong GTA atau pihak lain.
Bagaimanapun, kira-kira satu pertiga, atau 31 peratus daripada 1,209 pengundi yang ditinjau pendapatnya berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti siapa yang akan mereka undi.
Pada 7 Nov, Anwar dilaporkan berkata PH yakin akan memperoleh majoriti mudah dalam kerajaan.
Tetapi Mahathir menolak dakwaan Anwar, anak didiknya yang bertukar musuh politik sebelum berdamai ketika PRU14 dan kini kembali berseteru sekali lagi.
"Pada suatu ketika dia beritahu satu dunia yang dia dah jadi perdana menteri dan Muhyiddin sudah tidak lagi jadi perdana menteri. Awak tahu apa jadi," soalnya.
"(Anwar) sangat optimistik tapi kita tengoklah nanti," katanya.
Siapa bakal PM?
Mengenai perkembangan lain, Mahathir berkata kenyataan terbaru Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan isu calon perdana menteri BN masih belum selesai.
Ini walaupun BN juga berulang kali menegaskan naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob masih 'poster boy' calon perdana menteri gabungan itu jika menang PRU15.
"Sebenarnya, parti yang mendapat jumlah terbanyak ahli parlimen berhak untuk menamakan perdana menteri," kata Mahathir.
Semalam, Zahid berkata dari sudut perlembagaan, Agong berkuasa akan menentukan siapa yang bakal menjadi perdana menteri jika BN menang PRU15.
Secara tradisinya, presiden Umno dinamakan perdana menteri jika BN memenangi pilihan raya umum.
Ismail Sabri juga sebelum ini menegaskan keputusan untuk dia mengekalkan jawatan tertinggi negara itu telah diputuskan pada perhimpunan agung Umno tahun lepas, serta semasa mesyuarat majlis tertinggi parti pada April.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai