Skip to main
Logo Malaysiakini

GTA takkan kerjasama dengan parti 'tebuk atap' atau 'Bossku'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jika memiliki peluang untuk membentuk kerajaan Gerakan Tanah Air (GTA) akan memilih untuk bekerjasama dengan parti dari Sabah dan Sarawak selepas 19 Nov ini.

Presiden penaja GTA Dr Mahathir Mohamad berkata mereka tidak akan mahu bekerjasama dengan parti lain yang dianggap "penebuk atap" atau dianggota "Bossku".

Hal itu kerana, katanya, parti terbabit didapati penuh dengan kerosakkan di dalamnya.

“GTA akan pilih parti yang bersesuaian, parti itu bukan parti tebuk atap atau parti 'Bossku'. Parti seperti itu kita tidak akan bekerjasama.

"Lebih baik kami jadi pembangkang, namun ada parti di Sabah dan Sarawak yang kita boleh bekerjasama,” katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.

‘Bossku’ itu biasanya merujuk kepada Umno yang disertai bekas presiden parti terbabit, Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana anak syarikat 1MDB.

Mahathir yang pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama GTA dengan parti politik lain selepas PRU-15 bagi membentuk kerajaan.

Terdahulu dia menjadi tetamu utama Majlis Kebangkitan Rakyat Kelantan.

GTA ditubuhkan Mahathir membabitkan Pejuang, Berjasa, Putra serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sangsi dapatan Merdeka Center

Pada PRU ke-15 ini GTA bertanding atas tiket Pejuang di 121 kerusi Parlimen seluruh negara, kecuali di Kelantan mereka menggunakan logo Putra.

Ditanya mengenai sasaran jumlah kerusi bakal dimenangi, penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu yakin GTA mampu memenangi lebih daripada satu kerusi.

Mahathir juga yakin dapat mempertahankan kerusi parlimen Langkawi yang dimenanginya dalam PRU lalu.

"Saya yakin lebih satu kerusi, bukan seperti Merdeka Center cakap itu," katanya.

Sebelum ini, tinjauan Merdeka Center yang didedahkan pada awal bulan ini mendakwa PH mendahului dari segi sokongan awam dan berada sedikit di depan berbanding BN.

Tinjauan itu menunjukkan 26 peratus responden memilih PH berbanding BN 24 peratus, diikuti oleh PN sebanyak 13 peratus. Empat peratus pula enggan menjawab soalan tinjauan manakala dua peratus berkata mereka akan menyokong GTA atau pihak lain.

Bagaimanapun, kira-kira satu pertiga, atau 31 peratus daripada 1,209 pengundi yang ditinjau pendapatnya berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti siapa yang akan mereka undi.