Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Gelombang biru PRU15? - Bahagian 1

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ANALISIS | Apabila Umno-BN mendesak supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan, mereka menjangkakan akan menang.

Sekarang, dua hari sebelum pengundian, BN kelihatan jauh daripada mencapai kemenangan "besar" apatah lagi membina momentumnya.

Satu gabungan lain, juga menggunakan warna biru telah mencabar Umno sebagai nakhoda kepimpinan orang Melayu, iaitu Perikatan Nasional (PN) yang berkecenderungan nasionalis ultra-Melayu.

Di samping itu, walaupun terdapat kekecewaan terhadap prestasi Pakatan Harapan sebelum ini kerana perselisihan dalam kerajaan dan gabungan itu, tetapi sokongan telah mula kembali, meningkatkan manfaat politiknya.

Sambil berjuang habis-habisan, PH yang inklusif bergelut dengan usaha mencapai jumlah ahli parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Kajian tiga bahagian "Gelombang Biru" ini melihat apa yang telah berlaku pada minggu lalu dalam kempen pilihan raya Malaysia dan membentangkan unjuran, analisis berdasarkan kerja lapangan di semua 13 negeri dan analisis statistik kemungkinan aliran pengundian.

Bahagian 1 di sini, membentangkan konteks kajian untuk analisis.

Apa berlaku pada Umno?

Apabila sejarah mengimbas kembali prestasi Umno-BN dalam kempen PRU15, dua ciri akan terserlah.

Pertama, peranan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, 'anak didik' yang menggantikan Najib Razak. Seperti mentornya, dia mengetuai partinya untuk kalah dalam pilihan raya.

Zahid bukan sahaja salah seorang yang paling dianggap negatif di Malaysia, seorang pemimpin yang akan memalukan negara jika dia menjadi perdana menteri kelak kerana tercemar dengan kes rasuahnya.

Pun begitu, kesilapan menguruskan partinya sendiri telah menjejaskan peluang BN menang pilihan raya dengan serius.

Dari Perlis ke Pahang, keputusan mengenai siapa yang ditetapkan menjadi calon dan bagaimana ia dilakukan telah menikam diri.

Berkali-kali, pekerja parti Umno di seluruh negara bercakap tentang kekurangan semangat dan sumber di lapangan. Dengan sepanduk lama dan mesej lapuk, ia boleh dikatakan antara kempen terburuk dalam sejarah Umno setakat ini.

Kedua, inilah realiti Umno yang berpecah belah. Mesej parti adalah satu kestabilan, tetapi apa yang dipaparkan dalam kempen adalah sengketa.

Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dimalukan secara terbuka dan diketepikan (secara literal dan kiasan).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pula dihukum dan kempennya di Sungai Buloh telah mempamerkan masalah dalam Umno ketika dia cuba bertanding dengan seolah-olah berkata, “saya bukan Umno sebenarnya” tapi cuma calon di bawah panji parti itu.

Memandangkan kempen PRU15 telah berkembang, ia menjadi jelas bahawa Umno tidak bersatu mengenai siapa yang akan memimpin mereka dan ia akan mengambil - secara minimum - pemilihan parti (dan keputusan undang-undang) untuk menyelesaikan beberapa isu perpecahan dalam parti.

Walaupun parti itu sebenarnya meletakkan beberapa calon yang berkebolehan terutamanya di Negeri Sembilan dan Johor, undi untuk jenama Umno-BN bukanlah undi untuk kestabilan.

Walaupun unjuran lebih rendah daripada jangkaan, Umno tidak boleh diketepikan sepenuhnya, kerana sejarah politik telah mengajar rakyat Malaysia bahawa apabila ditekan Umno bertindak balas dan melawan.

Ramai pemimpin dalam Umno tetap terdesak untuk kembali berkuasa dalam apa jua keadaan, termasuk berdepan risiko awam banjir yang telah menjadi terlalu jelas di terlalu banyak tempat di seluruh Malaysia.

Kempen mereka pada hari-hari terakhir ini patut diperhatikan.

Namun, impian untuk gabungan itu kembali menguasai negara bagaimanapun, semakin menjadi sesuatu yang jauh untuk digapai.

Kebangkitan PN: Menjadi Umno

Gabungan PN pimpinan Muhyiddin Yassin, juga berjubah biru, telah mendapat daya tarikan politik. Kempennya yang licik, sumber yang lebih besar dan mesej ultra-etno-nasionalis yang disasarkan (melalui kebanjiran pengiklanan media sosial) telah mendapat sokongan.

Mereka telah menggambarkan diri mereka sebagai alternatif “selamat” untuk orang Melayu dan menumpukan perhatian kepada pengundi yang belum membuat keputusan.

Seperti yang saya perhatikan, PN telah terlibat dalam pengundian bersasar di kalangan komuniti yang paling rentan.

PN juga berhati-hati meletakkan dirinya sebagai bukan Umno sambil terlibat dalam taktik kempen tradisional seperti Umno.

Ironinya, PN dalam usahanya untuk mendapatkan kuasa negara dan menggantikan Umno, sebenarnya telah menjadi "Umno" - sebuah parti yang mempunyai dana lebih besar, menganjurkan kempen strategik yang bertujuan untuk memenangi legitimasi politik daripada masyarakat Melayu.

Sokongan utama PN terletak pada PAS, penyokong teras dan jenteranya, dan pangkalan di tiga negeri penting – Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Di sebalik kenyataan seksis yang memalukan, misalnya, Menteri Besar Kedah Mohammad Sanusi Md Nor kekal sebagai tokoh popular di kalangan ramai orang Melayu, begitu juga dengan ramai pemimpin PAS, termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang.

Populariti mereka datang daripada mesej ultra-konservatif yang mereka dukung.

Walaupun pandangan kuno ini ditolak secara meluas oleh majoriti rakyat Malaysia, masih terdapat teras konservatif yang mengakar, dengan pandangan dunianya berbeza daripada kebanyakan pembaca Malaysiakini.

Keberuntungan nasib politik PAS telah dirancakkan oleh wang dan impiannya untuk memegang kuasa negara kelihatan semakin hampir.

Ia dipertingkatkan oleh gabungan parti yang membolehkannya bersaing dengan lambang berwarna biru itu. Seperti yang akan ditunjukkan, PAS sudah bersedia untuk memenangi kerusi pada pilihan raya ini.

Harapan tetap hidup

Pakatan Harapan (PH) walaupun dalam keadaan dirinya yang sedemikian telah mencapai kemajuan dalam kempen PRU15 ini.

Sebahagian intipati yang menjadikan kita manusia, harapan merupakan antara perkara yang boleh terus hidup, walaupun selepas dipecahkan.

Dan pencapaian terbesar Pakatan Harapan dalam kempen PRU15 setakat ini ialah menghidupkan semula harapan, walaupun ia tidaklah idealistik sebagaimana dahulu.

Ia berjalan perlahan, dengan kebanyakan kerusi yang condong PH, masih lagi belum selamat.

Perpecahan dalam kalangan orang Melayu tidak selalunya memihak kepada PH, malah mungkin menjejaskan prestasi gabungan itu di banyak kerusi.

Turut bermasalah ialah penekanan sesetengah pihak dalam berkempen bahawa (hanya) mereka yang paling tahu, mengurangkan kerja berpasukan dan enggan menerima keputusan kolektif mengenai warna logo dan pemesejan.

Ego membayangi kempen PRU15 bagi PH.

Dua perkara hidupkan semula nasib PH

Pertama ialah realiti tujuan bersama yang lebih besar. Pakatan Harapan 2.0 lebih bersatu dalam matlamatnya untuk pembaharuan berbanding ketika Dr Mahathir Mohamad menerajui gabungan itu.

Menjadi PH bukan pimpinan Mahathir telah membantu gabungan itu pulih dan memiliki tumpuan yang lebih jitu.

Teras reformasi telah kembali, dengan matlamat bersama untuk memperbaiki tadbir urus.

Gambar fail, Dr Mahathir ketika menjadi pengerusi PH.

Kedua, PH paling banyak mendapat manfaat daripada kesilapan gabungan lain - iaitu kepimpinan pembuli Zahid dalam Umno-BN serta mesej perkauman yang merosakkan (dan melampau oleh) PN.

Walaupun PH mempunyai masalah tersendiri dalam menguruskan isu perkauman, tahap ucapan kebencian daripada PN, termasuk seruan untuk keganasan, sangat mengecewakan rakyat Malaysia.

Pengundi menyoal siapa yang akan mewakili mereka, dan apa yang mereka mahu daripada kepimpinan negara.

Di sini, walaupun ramai yang ragu-ragu, Presiden PKR Anwar Ibrahim telah muncul lebih kuat berbanding calon lain.

Dan ia membantu PH dengan satu-satunya kempen yang jelas tentang siapa calon perdana menterinya.

Bahagian 2 siri ini akan memaparkan unjuran saya tentang kedudukan mereka sekarang dalam kempen.


BACA BERKAITAN:

ULASAN | Gelombang biru PRU15? Saingan makin sengit - Bahagian 2


BRIDGET WELSH ialah Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham. Dia juga penyelidik kanan di Hu Fu Centre for East Asia Democratic Studies dan felo kanan di The Habibie Centre. Penulisannya boleh didapati di bridgetwelsh.com. Ikuti siri podcastnya, Kerusi Panas.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.