Skip to main
Logo Malaysiakini

Sukarelawan, juruterbang M'sia bawa pulang kertas undi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beribu undi pos kini sedang dalam perjalanan menerusi pesawat penumpang dari pelbagai negara, berkat usaha dan koordinasi pelbagai NGO dan warga Malaysia yang tinggal di luar negara.

Mereka termasuk juruterbang yang secara sukarela membawa pulang kertas undi tersebut, yang sejumlahnya lambat diterima oleh pengundi di luar negara, agar sempat diserahkan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum tempoh pengundian ditutup pada jam lima petang, 19 November ini.

Salah seorang juruterbang itu adalah Selvaganesh Nadarajah, 39. Dua hari lalu (15 November), dia membawa 300 kertas undi dari Doha di Qatar, walaupun dia sendiri belum menerima kertas undinya.

Juruterbang Qatar Airways itu berkata, pasukannya mewujudkan tempat pengumpulan di sebuah hotel di Doha dan mereka turut mengasingkan kertas undi mengikut negeri.

"Saya merasa bangga dan melakukan tanggungjawab terhadap negara (dengan usaha itu) walaupun saya sendiri merasa kecewa kerana kertas undi saya kini dalam transit di New Delhi, kemudian Dubai sebelum sampai ke Doha pada 19 November," katanya.

"Ramai pengundi luar negara yang tidak sebar menunggu untuk melaksanakan tanggungjawab dan hak kami menerusi kertas undi.

"Malangnya, ekoran kelalaian dan kelambatan dalam logisitik, kami dinafikan peluang untuk menunaikan hak sebagai warganegara," katanya lagi.

Sukarelawan mengasingkan kertas undi di sebuah hotel di Dubai

Jaringan sukarelawan antarabangsa

Selvaganesh merupakan sebahagian daripada "Plan A" yang diwujudkan jaringan warga Malaysia dan NGO di luar negara, termasuk Global Bersih, untuk membawa kertas undi dari Qatar ke Malaysia.

Pengundi luar negara perlu merangka rancangan luar jangka kerana ramai yang belum menerima kertas undi masing-masing, tiga hari sebelum hari mengundi.

Menurut Selvaganesh, Plan B dan C adalah untuk pelajar yang pulang ke Malaysia untuk mengundi membawa kertas undi yang sampai lewat bersama-sama mereka.

Di Dubai, pekerja Malaysia di syarikat penerbangan di sana berjaya mengumpul 200 kertas undi, yang kemudian dibawa pulang juruterbangnya, Kapten Afiq Azahari pada Selasa lalu.

Kapten Afiq Azahari bersama kertas undi

Koordinator Redza Jamil berkata dia dan isterinya memutuskan untuk terlibat pada kali ini selepas melihat warga Malaysia berganding bahu untuk membawa pulang kertas undi pada PRU lalu.

"Saya tahu ramai yang memerlukan bantuan untuk menghantar kertas undi mereka dan saya tahu warga Malaysia seperti Afiq akan membantu jika saya meminta bantuannya," katanya yang juga seorang juruterbang, ketika dihubungi malam tadi.

Dia berkata kertas undi turut dibawa seorang lagi juruterbang yang dalam perjalanan dari Dubai.

Di London, VoteMalaysia United Kingdom dan United Kingdom and Eire (Ireland) Council for Malaysian Students (Ukec) mewujudkan pusat pengumpulan di Malaysian Hall, sementara wakil majlis itu di kawasan-kawasan lain di United Kingdom mewujudkan pusat sama di pelbagai universiti.

Ukec telah mengumpul lebih 2,000 kertas undi dari pengundi luar negara, yang dihantar ke Malaysia menerusi pesawat penumpang.

NGO juga bersedia mewujudkan jaringan utusan untuk mengambil kertas undi di KLIA dan membawanya ke pegawai SPR di seluruh negara.

Dewan Perhimpunan Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) juga terlibat membantu mengasingkan dan menghantar kertas undi yang dibawa dari luar negara.

Jaringan antarabangsa ini, yang menyasarkan untuk membawa pulang 50,000 undi pos, diwujudkan selepas warga Malaysia terpaksa berkejar ke lapangan terbang untuk menghantar kertas undi mereka kepada mana-mana warga Malaysia yang dalam perjalanan pulang, pada PRU14.

Ini kerana ketika itu mereka lambat menerima kertas undi mereka.

Ketika itu, kertas undi disampaikan kepada sukarelawan atau ahli keluarga dan rakan, yang kemudiannya berkejar untuk menyerahkannya kepada SPR.

Berkongsi kos

Walaupun SPR telah memohon maaf, masalah sama muncul lagi pada PRU15 dengan ramai yang sedang menunggu kertas undi mereka, kurang 72 jam dari hari mengundi.

Kali ini, mereka boleh bergantung harap kepada usaha sukarela yang lebih teratur.

Malah, jaringan ini turut membiayai belanja penghantaran kertas undi menerusi perkhidmatan kurier, yang sebelum ini ditanggung pengundi.

Misalnya, di Eropah, belanja untuk menghantar kertas undi ke Malaysia menerusi DHL menelan belanja sehingga €120 (RM568) - yang tinggi, terutama untuk pelajar Malaysia yang ramai jumlahnya.

Jaringan NGO itu menganggarkan, dengan mengumpul dan menghantar kertas undi menerusi kapal terbang, kos penghantaran boleh menurun sehingga RM10 bagi setiap kertas undi.

Mereka telah meraih sebanyak RM65,000 daripada kutipan dana awam untuk membiayai kos itu.

Halangan birokrasi

Perbelanjaan kurier bukan satu-satunya halangan buat pengundi luar negara.

Semua kertas undi perlu disertakan borang yang ditandatangani seorang warga Malaysia lain, yang memperakui pengundi tersebut menanda sendiri kertas undinya.

Ia memberi kesukaran kepada mereka yang tinggal jauh dari warga Malaysia lain.

Antaranya Oh Saw Yean, seorang penuntut di Alaska, Amerika Syarikat. Dia menerima kertas undi pada 16 November tetapi tidak dapat menghantarnya kerana tiada warga Malaysia lain yang tinggal dekat dengannya.

"Walaupun saya tak boleh mengundi, saya sentiasa berdoa kepada Tuhan. Saya berdoa agar Malaysia dipimpin oleh pemimpin yang jujur, tidak bersifat perkauman dan tidak korup," katanya dalam kumpulan Facebook untuk pengundi warga Malaysia di luar negara.

Apa-apa pun, menerusi media sosial dan khabar dari mulut ke mulut, warga Malaysia di luar negara berusaha bersama-sama bagi memastikan mereka dapat mengundi pada PRU15.

Dengan tempoh kempen berbaki dua hari, tentunya ada rasa cemas di kalangan warga yang masih menunggu kertas undi mereka, atau yang baru menerimanya.

Di Twitter, Global Bersih menyeru agar mereka tidak berputus asa.

"Tiga hari lagi untuk memastikan kertas undi sampai ke kampung halaman. Tahan sikit lagi!"

Global Bersih turut mengongsikan video penyanyi Billy Ocean mendendangkan lagunya When The Going Gets Tough (Apabila Keadaan Menjadi Sukar).

"Jika Billy Ocean masih boleh terus bernyanyi sejak 1985, Global Bersih akan terus berjuang untuk membawa pulang 50,000 kertas undi anda," katanya.