Sudah lima projek, tapi masalah air Orang Asli tetap tidak selesai
Ketua Kampung Orang Asli Chang Lama di Bidor, Dahil Yok Chopil berkata projek bekalan air pertama dibuat pada 1986 tetapi isu bekalan air masih belum selesai.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah memperuntukan RM400,000 untuk projek membekalkan air terawat ke Kampung Chang Lama, Bidor.
Namun, penduduk Orang Asli di situ masih risau sama ada projek itu memberi manfaat atau tidak kerana ia bukan kali pertama projek seumpama itu dibuat.
Malah, sudah ada empat projek sebelum ini tetapi ia masih tidak menyelesaikan masalah bekalan air di kampung itu yang mempunyai lebih 180 Orang Asli suku Semai.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Kampungnya Dahil Yok Chopil, 65 berkata dia berharap projek pada kali ini benar-benar menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kampung itu sejak 1986.
Dahil berkata projek bekalan air pertama dibuat pada tahun 1986 tetapi isu air masih belum selesai.
"Pada tahun 2008, mereka buat projek baru dengan pembinaan paip-paipr baru. Pada tahun 2012, projek tahun 1986 diselenggara semula dengan menukarkan paip lama dengan baru yang bersaiz besar kerana tekanan air tidak mencukupi untuk sampai ke kampung.
"Pada 2014, ada projek baru lagi. Kali ini mereka kata kampung akan menerima bekalan air terawat. Tapi, sehingga ini isu air tidak diselesaikan.
"Projek sekarang merupakan kali kelima yang hanya dimulakan selepas pembubaran parlimen. Harap kali ini betul-betul memberi manfaat," katanya.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakoa Perak Harulnizam Abd Rahman bahawa projek bekalan air terawat sedang berjalan dalam usaha menyelesaikan isu masalah air kampung itu.
Sebelum ini, Harulnizam bersama-sama Menteri Besar Perak Mohamad Saarani memberitahu media bahawa isu masalah air kampung itu akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, pembinaan sedang dijalankan dengan kos RM400,000.
Namun, Dahil berkata mereka menganggap isu air ini tidak selesai sehinggalah air keluar dari paip di rumah mereka.
"Walaupun projek sedang berjalan, isu ini dah lama sejak 1986, maknanya dah berapa puluh tahun masalah air ini belum selesai.
"Mereka buat bermacam-macam, tapi apa yang saya rasa tidak ada penelitian yang lebih tentang isu air. Mereka keluarkan peruntukan buat sahaja, air sampai ke kampung atau sampai mereka tak peduli, yang penting projek dijalankan.
"Kalau betul-betul projek kos yang tinggi itu memberi manfaat, saya harap kali ini air sampai ke rumah. Sehingga itu, saya tak boleh nyatakan takde masalah air....selagi air tak sampai ke rumah masalah air itu kekal," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai