Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah isytihar anak ditinggal ibu bapa sebagai rakyat M'sia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang anak yang menjadi yatim piatu kerana ditinggalkan oleh ibu bapanya 39 tahun lalu akhirnya bergelar warganegara Malaysia.

Hashimah berjaya dalam cabarannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan penolakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung permohonan kewarganegaraannya.

Kemenangan undang-undang wanita berusia 39 tahun itu semalam disahkan oleh kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lawyers for Liberty (LFL) hari ini.

Menurut NGO itu, Hashimah dilahirkan pada 9 Jan 1983, dengan polis mendapati dia ditinggalkan ibu bapa kandungnya semasa serbuan pada tahun yang sama.

“Dia baru berusia tiga bulan ketika itu dan seterusnya tinggal di rumah anak yatim sepanjang hidupnya kerana dia tidak pernah menjadi anak angkat.

“Identiti ibu bapa kandung Hashimah masih tidak diketahui. Walaupun banyak percubaan Hashimah untuk mengenal pasti dan mencari ibu bapa kandungnya, ia tidak berjaya.

“Memandangkan dia seorang individu tanpa kerakyatan akibat menjadi anak terbiar, Hashimah kemudiannya pada 25 Feb 2020, memohon kewarganegaraan Malaysia menurut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Permohonan kewarganegaraan itu telah ditolak oleh JPN pada 29 Julai 2020,” kata LFL.

Hashimah kemudian memfailkan permohonan semakan kehakimannya di Mahkamah Tinggi pada 19 Okt tahun yang sama.

Kumpulan peguam itu berkata Hakim Amarjeet Singh dalam keputusannya mengisytiharkan "Hashimah sebagai warganegara Malaysia mengikut operasi undang-undang".

“Mahkamah Tinggi seterusnya memerintahkan JPN mengeluarkan sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan Malaysia kepada Hashimah,” kata LFL.

Peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin bertindak mewakili Hashimah yang merupakan pemohon.

Dua responden yang menjadi sasaran tindakan undang-undang, menteri dalam negeri dan JPN, diwakili peguam kanan persekutuan Nik Isfahanie Tasnim W Ab Rahman.