Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PN Tanah Merah nafi tawar duit untuk pengundi luar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz menafikan dakwaan kononnya dia menawarkan RM350 hingga RM1,000 kepada pengundi luar.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tanah Merah itu mendakwa perkara itu tular di media sosial khususnya aplikasi What'sApp.

Dakwaan yang mengatakan separuh bayaran iaitu RM500 akan dibuat di pejabatnya di Keramat dan bakinya di Tanah Merah adalah tidak benar.

“Perkara itu tidak benar kerana tiada bayaran dibuat pun. Saya sendiripun terima macam-macam angka kononnya kita bayar kepada pengundi luar.

Gambar hiasan.

“Itu semua usaha-usaha untuk memburukkan saya supaya orang menjadi marah, lebih-lebih lagi pengundi luar mulai pulang ke Kelantan," katanya ketika ditemui media di Tanah Merah.

Ikmal Hisham berkata mengundi adalah tanggungjawab warganegara yang layak kepada tanah air.

“Apa yang saya harapkan, ikhtiarkanlah pulang ke kawasan masing-masing dan buat pilihan yang dirasakan terbaik,” katanya.

Ikmal Hisham berkata tersebar di media sosial kononnya dia ada menyediakan bayaran buat pengundi yang ingin pulang mengundi di Tanah Merah.

Ikmal ketika berkempen.

Dia turut menerima pesanan berkenaan melalui aplikasi What'sApp yang dikirim sahabatnya.

Sementara itu, Ikmal Hisham mengakui dia ada berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung bantuan kepada pengundi luar.

Katanya, SPR memaklumkan dibenarkan memberi bantuan namun tidak boleh menetapkan syarat kepada pengundi supaya mengundi parti tertentu.

“Ianya sekadar bantuan wang tambang. Bagaimanapun kami belum membuat keputusan berhubung perkara itu,” katanya lagi.