Skip to main
Logo Malaysiakini

Projek RM285 juta dilulus Nov 2020, bukan lepas parlimen bubar - Kasa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) menafikan projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan di Klang Selatan melibatkan kos RM285 juta diluluskan selepas parlimen dibubarkan pada 10 Okt 2022.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli semalam mendedahkan surat bertarikh 27 Okt yang mendakwa Kementerian kewangan meluluskan projek itu secara rundingan terus dengan sebuah syarikat.

Kasa menjelaskan projek berkenaan diluluskan pada November 2020, di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Tahun 2021 dan perolehan projek itu telah bermula sejak 6 Okt 2021.

"Sepanjang tempoh kerajaan caretaker iaitu selepas pembubaran parlimen pada 10 Oktober 2022, Kasa telah menangguhkan proses pengeluaran Surat Niat, Surat Pelawaan, Surat Setuju Terima (SST) dan sebarang bentuk rundingan dengan pihak kontraktor perunding.

"Kasa sangat berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan dalam tempoh kerajaan caretaker ini.

"Justeru itu, kenyataan yang tular (Daripada Rafizi) adalah tidak berbangkit sama sekali kerana tiada sebarang ikatan kontrak telah dijalin antara kerajaan dengan syarikat dalam tempoh ini,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kasa menegaskan surat yang didakwa dikeluarkan MOF tersebut sepatutnya dibawa kepada siasatan pihak berkuasa terlebih dahulu dan bukan dengan cara mendedahkan kepada rakyat bagi mewujudkan persepsi tidak baik kepada kementerian semasa tempoh kerajaan sementara.

"Kenyataan pihak yang mendakwa bahawa pihak kerajaan telah meluluskan projek tersebut selepas pembubaran parlimen adalah satu tohmahan yang tidak berasas sama sekali.

"Oleh itu Kasa sekali lagi menegaskan bahawa perkara ini peru dibuktikan kebenarannya terlebih dahulu melalui siasatan oleh pihak berkuasa," jelasnya.

Sebelum ini, pekeliling dikeluarkan Perbendaharaan pada 18 Okt yang menghalang kerajaan sementara memeterai sebarang komitmen kontrak atau aku janji yang akan memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baru selepas PRU15.

Pada masa sama pekeliling tersebut menyatakan kerajaan boleh meneruskan dasar dan projek pembangunan sedia ada, atau memeterai kontrak berhubung projek yang mana peruntukan telah pun diluluskan di Parlimen atau kerajaan sebelum parlimen dibubarkan.

Menteri kewangan sementara, Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam menangkis dakwaan Rafizi dengan mengatakan surat itu bukan persetujuan untuk menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat, sebaliknya merupakan kelulusan untuk rundingan dibuat dengan Kasa.

katanya, Kasa selaku kementerian yang bertanggungjawab masih perlu berunding dengan syarikat berkenaan dan akan mengesyorkan langkah seterusnya kepada kementerian kewangan.