Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI | PRU15: Apa jadi jika parlimen tergantung?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PANDUANKINI | Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mungkin pemilihan yang paling tidak dapat diramalkan dalam sejarah negara.

Ia juga mungkin kali pertama Malaysia mengalami parlimen yang tergantung - bermakna tiada pemenang yang jelas.

Panduankini cuba menyorot apa yang boleh terjadi jika situasi ini berlaku.

Apa itu parlimen gantung?

Perkara pertama yang perlu difahami, urusan membentuk kerajaan di Malaysia adalah tugas perdana menteri.

Seorang perdana menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dikalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota parlimen itu.

Parlimen tergantung berlaku apabila tiada parti atau gabungan pilihan raya yang memenangi majoriti di Dewan Rakyat.

Ini bermakna tidak ada kejelasan mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Majoriti di Dewan Rakyat ialah separuh daripada semua kerusi, ditambah satu - atau dikenali sebagai majoriti mudah.

Sejak 2008, majoriti mudah adalah 112, kerana terdapat 222 kerusi parlimen.

Bagaimanapun, pada tahun ini, sekiranya pengundian di kerusi Padang Serai ditangguhkan kerana kematian calon - ambang majoriti mudah secara teori, dikurangkan kepada 111 kerusi, kerana hanya terdapat 221 kerusi yang dipertandingkan.

Bukankah parti dapat undi terbanyak menang?

Oleh kerana Malaysia menggunakan sistem pilihan raya pemenang undi terbanyak, kemenangan keseluruhan ditentukan oleh jumlah kerusi parlimen yang dimenangi sesebuah parti politik.

Di peringkat kerusi, sesiapa yang mempunyai undian terbanyak menang - walaupun mereka tidak mempunyai lebih daripada 50 peratus undi. Ini juga diterjemahkan melalui kiraan kerusi parlimen.

Pada 2013, pakatan pembangkang Pakatan Rakyat ketika itu meraih 50.9 peratus daripada jumlah undi, tetapi hanya menang 47.8 peratus kerusi.

Apa jadi jika parlimen tergantung?

Jika tiada gabungan atau parti politik tunggal mendapat majoriti - maka mereka perlu membentuk pakatan baru untuk calon perdana menteri mencapai bilangan kerusi yang diperlukan.

Ini sama seperti bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN)-BN dibentuk pada 2020 dengan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan Ismail Sabri Yaakob kemudiannya menjadi perdana menteri pada 2021.

Ia berlaku apabila ahli parlimen menarik balik sokongan kepada seorang perdana menteri, dan menyokong calon yang lain.

Bagaimanakah pakatan dibentuk?

Tiada peraturan khusus mengenai perkara ini di Malaysia.

Bagaimanapun, terdapat beberapa konvensyen yang boleh diikuti oleh Malaysia.

Di UK - yang mengamalkan sistem Westminster dan dicontohi Parlimen Malaysia - perdana menteri sementara diberi peluang untuk membentuk kerajaan terlebih dahulu.

Ini sama ada melalui pembentukan gabungan pasca pilihan raya, atau cuba membentuk kerajaan minoriti (perkara ini akan diperjelas lebih lanjut kemudian).

Jika perdana menteri sementara gagal, maka secara konvensyen dia meletakkan jawatan dan menjemput ketua parti terbesar untuk mencuba dan membentuk kerajaan seterusnya - melalui proses yang sama.

Sementara itu, di Jerman duluan yang pernah terjadi menunjukkan parti atau gabungan yang mempunyai kerusi terbanyak diberi peluang membentuk kerajaan terlebih dahulu.

Peguam Haniff Khatri Abdulla, bagaimanapun, membayangkan bahawa dalam konteks Malaysia - Yang di-Pertuan Agong boleh menjemput ketua semua gabungan utama dan memberi mereka masa untuk mencuba dan mendapatkan majoriti.

“Agong mungkin, sebagai contoh, memberi mereka tiga hari untuk berunding dan cuba membentuk kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Ini berdasarkan apa yang berlaku pada 2020 dan 2021, apabila Seri Paduka meneri menghadap pemimpin parti - dan ahli parlimen dalam kes 2020 - sebelum melantik seorang perdana menteri.

Tunggu, adakah ini bermakna Ismail Sabri Yaakob mungkin terus menjadi perdana menteri walaupun BN kalah?

Ya, dia mungkin akan dibenarkan kekal sebagai perdana menteri buat sementara waktu sehingga majoriti dibentuk di parlimen.

Namun, Haniff berkata jika kebuntuan berterusan selepas rundingan selama satu minggu - Baginda boleh melantik perdana menteri sementara lain di kalangan ahli parlimen kanan yang tidak bersaing untuk jawatan perdana menteri.

Ini bagi memastikan kerajaan terus berjalan kerana beberapa perkara memerlukan tandatangan seorang perdana menteri, tambahnya.

Bagaimana jika calon PM tak dapat majoriti?

Sekiranya tiada calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti selepas tempoh yang berpanjangan - terdapat dua pilihan.

Pertama ialah sesiapa yang mendapat sokongan paling ramai ahli parlimen - boleh mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan minoriti.

Pengerusi Bersih Thomas Fann dan peguam New Sin Yew berkata ini boleh dicapai jika calon perdana menteri dapat mencapai persetujuan dengan parti-parti lain.

Fann berkata ini boleh dicapai dalam bentuk perjanjian keyakinan dan bekalan (CSA) - dengan syarat parti pembangkang bersetuju untuk menyokong atau mengelak daripada undi percaya dan meluluskan belanjawan, elemen penting yang diperlukan untuk kerajaan berfungsi.

Ini sama dengan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

Di UK, kerajaan minoriti masih boleh dibentuk walaupun tanpa perjanjian sedemikian, tetapi ini sering dianggap tidak stabil kerana kerajaan boleh digulingkan dengan mudah melalui undi percaya atau kalah undi bajet.

Pilihan kedua - jika kerajaan minoriti juga tidak boleh dibentuk - Haniff berhujah bahawa Seri Paduka juga boleh memilih untuk mengadakan pilihan raya umum yang lain.

Bukankah bentuk pakatan baru langgar undang-undang antilompat?

Undang-undang antilompat menghalang seseorang ahli parlimen daripada bertukar parti atau keluar parti - ini akan menyebabkan mereka hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan mencetuskan pilihan raya kecil.

Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang parti secara keseluruhan daripada mengubah sokongan mereka.

Secara teori, seseorang ahli parlimen juga boleh memilih untuk menyokong calon utama pilihan mereka atau menandatangani CSA atau MOU.

Bagaimanapun, beberapa parti seperti DAP dan Amanah, telah memasukkan klausa dalam perlembagaan parti mereka bahawa wakil rakyat yang menentang keputusan parti dianggap meletak jawatan daripada parti - mencetuskan penguatkuasaan undang-undang antilompat.

Ini bertujuan untuk memintas klausa dalam undang-undang antilompatbagi menghalang hli parlimen yang dipecat daripada parti masih boleh mengekalkan kerusi mereka.

Bagaimana dengan PN, apa jadi jika PAS keluar?

PN bertanding di bawah logo yang berbeza dalam pilihan raya ini.

Di Kelantan dan Terengganu calonnya - termasuk daripada Bersatu - bertanding menggunakan logo PAS manakala logo PN digunakan di seluruh Semenanjung dan di Sarawak.

Sementara itu, di Sabah - kecuali di Beluran - calon Bersatu bertanding di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mentadbir kerajaan negeri itu hari ini.

Terdapat spekulasi berleluasa bahawa PAS mungkin berpecah dengan Bersatu untuk menyokong dan menyertai kerajaan BN.

Sekiranya ini berlaku, terdapat dua pandangan mengenai perkara tersebut.

Fann berkata dua syarat mesti dipenuhi di bawah undang-undang anti-lompat, iaitu ahli parlimen itu merupakan ahli parti, dan dia bertanding dalam pilihan raya di bawah tiket parti.

Katanya, takrif parti politik di bawah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan juga meliputi gabungan berdaftar.

“Oleh itu, ia (undang-undang antilompat) tidak terpakai kepada ahli Bersatu yang bertanding di bawah lambang PAS tetapi ia terpakai kepada ahli PAS yang bertanding di bawah lambang PN,” katanya.

Dia berkata ini kerana perikatan merupakan entiti tersendiri walaupun PAS sebagai sebuah parti merupakan ahlinya, bermakna ahli parlimennya bukan ahli berdaftar gabungan itu.

Dia berkata undang-undang antilompat itu hanya akan terpakai dalam situasi seperti apabila seorang ahli parlimen ialah ahli langsung pakatan itu sendiri.

Walau apapun, New menjangkakan perkara sebegitu mungkin akan berakhir di mahkamah kerana peruntukan undang-undang antilompat agak kabur.

Saya tak suka idea gabungan lepas pilihan raya!

Walaupun idea ini mungkin tidak disenangi oleh mereka yang merasa dikhianati oleh Langkah Sheraton dan contoh lain lompat parti, pakatan selepas pilihan raya mungkin menjadi kebiasaan pada masa hadapan.

Dengan politik Malaysia yang lebih pelbagai berbanding sebelum ini dan bukannya "sistem dua gabungan" yang lama sebelum 2018 apabila hanya ada BN atau pembangkang - maka lebih banyak pilihan raya tidak akan mempunyai pemenang yang jelas.

Ini benar terutamanya jika sistem pilihan raya Malaysia berkembang melangkaui sistem pihak raih undi terbanyak menang, kepada sistem perwakilan berasaskan nisbah undi seperti yang dianjurkan oleh sesetengah pihak.

Pilihan raya perwakilan nisbah memastikan pengundi diwakili secara adil, dan mengelakkan keputusan seperti di Johor dan Melaka, apabila BN mampu menang majoriti dua pertiga di DUN, walaupun menang kurang 50 peratus daripada jumlah undi.

Di negara yang mengamalkan pilihan perwakilan nisbah - seperti Jerman - mendapat majoriti jelas jarang berlaku, justeru memerlukan parti-parti berkompromi dan membentuk gabungan selepas pilihan raya.

Secara teorinya, ini boleh membantu memulihkan politik perpecahan di Malaysia, memaksa parti-parti yang bertentangan antara satu sama lain untuk meredakan retorik kebencian demi kepentingan membentuk kerajaan bersama.