Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua penggal dipegang Jazlan bukan jaminan Machang kerusi selamat BN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua penggal dipegang Pengerusi BN Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub bukan jaminan Machang menjadi kerusi parlimen selamat untuk gabungan itu pada PRU15.

Walaupun pada awalnya Ahmad Jazlan yang juga pengerusi BN Kelantan kelihatan agak kukuh, tinjauan Malaysiakini mendapati pengundi di Machang bersedia memberi peluang kepada Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mewakili PN.

Antaranya Zulkifli Zakaria, 50, yang merasakan timbalan menteri perpaduan negara itu mempunyai peluang cerah untuk mencipta kejutan di situ.

"Saya tengok Wan Ahmad Fayhsal ada peluang yang cerah untuk menang. Penerimaan rakyat terhadapnya cukup baik.

"Saya lihat mood orang Machang sedia untuk buat perubahan dengan memberi peluang kepada anak muda menjadi wakil rakyat," katanya yang merupakan seorang pesara kerajaan kepada Malaysiakini.

Zulkifli Zakaria

Machang merupakan kawasan Parlimen yang boleh dianggap unik apabila ia dimenangi BN pada PRU lalu di saat tiga DUN dibawahnya, iaitu Pulai Chondong, Temangan dan Kemuning, dimenangi PAS.

Pada PRU kali ini, Umno juga konsisten berkempen di situ antaranya dengan mengemukakan kejayaan Ahmad Jazlan sepanjang dua penggal memimpin Machang.

Antara kejayaan yang ditonjolkan BN ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta program lain seperti program bantuan persekolahan.

Firdaus Radzulan

Seorang lagi warga Machang, Firdaus Radzulan pula berpandangan Machang bukanlah kubu kuat BN dan peluang terbuka luas untuk PN merampas kerusi berkenaan.

"Machang tidak boleh dianggap sebagai kubu kuat BN lagi.

"Wan Ahmad Fayhsal diterima oleh orang Machang, tiada masalah. Dia ada gaya kepimpinan yang baik dan diyakini," kata lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sendiri itu lagi.

Ismail Jusoh berkata kali ini persaingan lebih terbuka namun kedudukan Wan Ahmad Fayhsal sebagai timbalan menteri memberi kelebihan kepadanya.

"Nak kata Machang kubu BN tak boleh sebab dulu PAS menang peringkat DUN.

"Masing-masing ada peluang untuk menang, tapi saya melihat kedudukan Wan Ahmad Fayhsal sebagai timbalan menteri memberi sedikit kelebihan kepadanya," katanya yang bekerja sendiri.

Wan Ahmad Fayhsal (tengah)

Ahmad Jazlan mula menjadi ahli parlimen Machang pada 2013, selepas menewaskan calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail dengan majoriti 805 undi.

Sebelum itu, ia merupakan kerusi parlimen PKR menerusi Saifuddin Nasution Ismail, yang kemudiannya dipindahkan ke Kulim Bandar Baharu pada PRU tersebut.

Pada PRU14, Ahmad Jazlan berjaya meningkatkan majoritinya kepada 2,824 undi, dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon PAS dan PH.

Dia memperoleh undian sebanyak 26,076 undi manakala Zulkifli Mamat (23,252) dan Sazmi Miah (5,695).

Pada PRU15, selain Ahmad Jazlan dan Wan Ahmad Fayhsal, turut bersaing di Machang adalah Dr Rosli Allani S Abdull Khadir (PH) dan Mejar (B) Muhamad Seman (GTA).