Tak bertanding di Titiwangsa, tapi Rina jadi modal kempen BN, PH
PRU15 | Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Rina Harun memenangi kerusi parlimen Titiwangsa atas tiket Bersatu yang pada masa itu sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, pada pilihan raya umum kali ini, pemimpin Bersatu itu tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan, sebaliknya berpindah ke parlimen Sepang.
Dikatakan kurang menyerlah di Titiwangsa, nama Rina sering disebut-sebut oleh calon yang bertanding di situ dalam gambaran negatif, terutama daripada calon BN.
Rina, yang pernah menyandang jawatan menteri sewaktu tiga pentadbiran yang berbeza dalam satu penggal, dilihat sebagai “beban” kepada PH dan pada masa sama menjadi "senjata" buat BN dalam kempen mereka.
Malah, Khalid Samad iaitu calon PH di Titiwangsa sedaya-upaya meyakinkan pengundi dan berjanji tidak akan mengabaikan kawasan itu seperti Rina, sekiranya dia menang di kerusi berkenaan.
“Saya boleh beri jaminan, saya tak macam Rina, sebab saya diletakkan di sini sebab saya dah tiga penggal kat Shah Alam, sebab track record macam tu di sana dan pengundi Titiwangsa yakin (kebolehan mentadbir),” kata penyandang ahli parlimen Shah Alam itu di satu perjumpaan bersama persatuan penjaja di sebuah restoran di Kg Baru, baru-baru ini.
Janji yang sama diucapkan dalam satu ceramah kelompok bersama penduduk pada malam itu.
Pada PRU14, Rina menewaskan Johari Abdul Ghani yang merupakan bekas ahli parlimen di situ dengan majoriti 4,139.
Namun, reputasinya tercemar selepas insiden Langkah Sheraton, mengakibatkan kerajaan PH yang ditadbir selama 22 bulan tumbang dan Bersatu menyertai Perikatan Nasional (PN).
Ketika menerajui kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina beberapa kali mencetuskan kontroversi dan menerima kecaman orang ramai.
Antaranya, nasihat yang diberikan kepada golongan isteri supaya meniru 'suara doremon’ untuk mengelak bertengkar dengan suami dan pendirian kementeriannya membabitkan pengharaman perkahwinan bawah umur.
Ini menjadi salah satu “modal” Johari dalam kempennya yang sering menyelitkan kelemahan Rina, selain dikatakan“sering hilang” dan “tidak turun padang” ketika menyandang kerusi berkenaan.
Johari juga mempersoalkan kehadiran Khalid di kerusi itu yang sebelum ini sering membangkitkan isu pemilikan tanah Kampung Baru.
Menurut Johari, Khalid tidak tahu secara mendalam isu di kawasan tersebut, dan hanya menjadi “menteri wilayah 22 bulan.”
Akui kerja kebajikan Johari, tapi masih dalam dilema
Sama seperti calon lain, Johari ketika program menyantuni orang ramai di Titiwangsa mengambil kesempatan untuk memberitahu tawarannya kepada pengundi.
Antaranya, bagaimana untuk dia dapat memajukan kawasan tersebut melalui kawasan tarikan pelancongan yang berdekatan supaya penduduk di kawasan setempat dapat manfaat yang besar.
Dalam satu program ‘Pesta makan malam minggu Kg Baru,’ pengerusi badan perhubungan BN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu disambut dengan mesra oleh penyokong sekitar, termasuk pemimpin veteran Umno Shahrizat Abdul Jalil.
Bertempat di pekarangan berdekatan Pintasan Saloma, pesta makan yang menghidangkan pelbagai makanan percuma untuk orang ramai di situ, jentera BN dilihat giat mempromosikan calon mereka.
Ini termasuklah mengedarkan booklet setebal 18 muka surat, berhubung kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh Johari kepada masyarakat setempat sejak 2018 hingga 2022.
Berdasarkan tinjauan Malaysiakini di situ, rata-rata pengundi mengakui kerja-kerja amal yang dilakukan oleh bekas ahli parlimen itu berterusan walaupun selepas kalah kepada Rina pada PRU lepas.
Tetapi rata-rata pengundi berkata merekaa masih belum membuat keputusan untuk memberikan undi kepada calon yang bertanding di situ.
Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk memangkah calon yang terbaik, terutamanya dari segi masa depan negara.
Pegawai broker saham yang telah menetap di Kg Baru sejak 20 tahun lalu itu berkata, kesukaran membuat keputusan itu didorong oleh pengalaman ditadbir oleh tiga pimpinan yang berbeza dalam tempoh satu penggal.
“Kalau (calon) parlimen, kita kena tengok parti yang akan perintah dan calon parlimen sekarang ni pun (kalau nak pilih) 50-50. Tak tahu masa depan negara macam mana.
“Nak undi rasa dilema. Kalau dulu senang nak decide parti mana,” kata wanita berusia 49 tahun yang turut hadir di pesta makan itu.
Pengundi Sahrin Sulaiman, 50, turut berkongsi nada yang sama kerana mempunyai krisis kepercayaan dengan ahli-ahli politik yang sering menaburkan janji-janji manis sebelum menang.
“Datuk Jo (Johari) memang banyak keluarlah (turun padang) kat sini… Tapi kalau ahli politik ni bila dah naik apa benda pun tak ada.
“Janji nak ubah macam-macam. Tapi sekarang ni, berniaga pun macam tak berniaga je,” kata penjual jagung itu yang membandingkan jualannya sejak empat tahun lalu hingga sekarang.
Isran, seorang lagi peniaga yang juga mengundi di situ menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan dan nasib penjaja di kaki lima berdekatan Jalan Raja Muda Musa di Kg Baru, yang didakwa bakal diusir secara tidak langsung apabila projek “mencantikkan” kawasan sekitar dijalankan semula.
Buntu di mana dia akan berniaga apabila kerajaan baru mengambil alih, warga emas yang merupakan pesara kerajaan itu mengharapkan wakil rakyat dan pemimpin yang dipilih benar-benar dapat mempertahankan nasib rakyat.
“Kita sebagai rakyat kita terpaksa terima. Yang jadi mangsanya rakyat, walau apa sekalipun (keputusan) rakyat, pengguna.
"Kita nak cakap pun siapa yang nak pakai cakap kita? Sebab tu kita tak tahulah orang atas-atas ni pandang projek ke, pandang duit ke,” keluhnya yang mendakwa projek tersebut berjalan tetapi dihentikan serta merta selepas parlimen dibubarkan.
Berbeza pendekatan, sama tujuan
Walaupun mempunyai tujuan yang sama - untuk menang, Khalid dan Johari yang merupakan calon utama di Titiwangsa mempunyai pendekatan berbeza dalam menarik undi.
Khalid yang lantang bersuara di Dewan Rakyat, lebih banyak bercakap di hadapan khalayak ramai dan berani mengambil soalan daripada pengundi sama ada sewaktu sesi pertemuan bersama kumpulan tertentu atau ceramah kelompok.
Dalam satu ceramah kelompok di bilik gerakan berdekatan Pasar Wirawati Taman Maluri, Khalid terbuka untuk menerima cadangan dan mengambil soalan termasuk isu-isu sensitif yang melibatkan isu perkauman dalam negara ini.
Bagaimanapun, Khalid yang merupakan “muka baru” di situ dilihat kurang dikenali sewaktu program ramah mesra bersama penduduk sekitar.
Namun, ia berbeza dengan bekas menteri kewangan II - Johari yang lebih selesa untuk menumpukan kepada aktiviti-aktiviti menyantuni rakyat di kawasan sekitar, di mana dia sering mendapat sambutan yang mesra di kalangan penduduk di kawasan yang dilawatinya, terutamanya di kawasan majoriti Melayu.
Ketika ditanya berhubung ketiadaan ceramah serta penolakannya untuk berdebat dengan Khalid sewaktu berkempen, Johari yang juga ahli majlis kerja tertinggi Umno itu melihat pendekatan sedemikian tidak penting untuk mendekati pengundi di situ.
Untuk rekod, pada PRU14, pengundi Melayu di Titiwangsa terdiri daripada 71 peratus, Cina (17 peratus), India (sembilan peratus) dan lain-lain (dua peratus).
Johari dan Khalid bakal berdepan dengan dengan dua lagi calon di situ iaitu Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) dan Rosni Adam (Perikatan Nasional).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai