Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengundi Labis impikan perubahan di Putrajaya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Labis yang terletak di utara Johor merupakan satu daripada tiga kerusi parlimen yang mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi bukan Melayu di negeri itu.

Pada 1960-an, pengasas Genting Bhd, Lim Goh Tong, pernah menjalankan perniagaan bijih besi di situ sebelum dia perlahan-lahan membina empayar perniagaannya.

Kini, Labis terkenal dengan duriannya, dan industri utama di bandar itu ialah sektor pertanian, seperti kelapa sawit.

Kali ini Labis menjadi tumpuan ramai apabila timbul persoalan sama ada penyandang kerusi parlimen di situ - Pang Hock Liong dari DAP - boleh memenanginya untuk kali kedua, atau menyaksikan pemimpin MCA, Chua Tee Yong kembali.

Suatu ketika dulu Labis pernah menjadi kubu kuat MCA. Dari 1986 hingga 2008, ia dikuasai MCA melalui Ling Liong Sik dan Chua Soi Lek. Kedua-dua mereka pernah menjadi presiden parti terbabit.

Chua Soi Lek turut turun padang membantu kempen anaknya

Kemudian pada 2008, Tee Yong - yang juga anak kedua Soi Lek - menggantikan bapanya sehinggalah PH merampas kerusi tersebut pada 2018 melalui Pang.

Di sebalik calonnya yang berprofil tinggi, majoriti MCA di kerusi itu menurun dengan ketara, daripada kira-kira 10,000 undi pada 2004 kepada hanya 353 undi pada 2013.

Pada masa sama DAP terus meningkatkan pengaruhnya di situ.

Bagaimanapun, kali ini DAP juga tidak pasti kan nasibnya di Labis.

Kehadiran sangat rendah

Pengerusi DAP Lim Guan Eng secara terbuka menyatakan pada Mac bahawa mereka mungkin terlepas kerusi Labis apabila dua kerusi DUN di bawahnya - Tenang dan Bekok - kembali menyokong BN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Tetapi mereka belum berputus asa.

Apabila tempoh kempen PRU ke-15 bermula, DAP menurunkan pemimpin kanannya termasuk Lim sendiri, setiausaha agung Anthony Loke, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan timbalannya Teo Nie Ching.

Mereka gigih membantu Pang di Labis untuk memberinya peluang berjuang buat penggal kedua.

Namun semuanya bermula dengan perlahan.

Semasa ceramah pada 11 Nov, jumlah penyokong yang keluar untuk memberikan semangat adalah sangat menyedihkan sehingga Pang berkata, DAP akan kehilangan Labis jika keadaan tidak bertambah baik.

Pang Hock Liong

Menurut laporan Sin Chew Daily, Pang bertanya kepada 50 orang awam yang hadir di ceramah di daerah Chaah itu bagi mengetahui peluangnya sama ada dia boleh memenangi kerusi Labis atau sebaliknya.

Apabila orang ramai berkata "ya", Pang menjawab: "Jangan tipu, kita tidak boleh menang kalau kehadiran sangat rendah!"

Dia kemudian menggesa orang ramai untuk mengingatkan rakan dan saudara mereka yang bekerja atau tinggal di luar agar kembali mengundi pada esok.

Peratusan keluar mengundi yang lemah didapati menjadi sebab utama BN berjaya menawan semua kerusi DUN yang berada dalam kawasan Labis pada PRN Johor 12 Mac lalu.

Data menunjukkan jumlah undi yang diterima DAP di Labis semasa PRN itu kurang 6,000 berbanding 2018. Ia merupakan perbezaan ketara bagi kerusi parlimen Johor yang lebih kecil dari segi pengundi berdaftar yang kini mempunyai 49,000 pemilih.

Pang memberikan ucapan di sebuah kopitiam

Penurunan undi itu berlaku ketika jumlah daftar pengundi baru meningkat.

Ketika ditemui, Pang memberitahu Malaysiakini momentum minggu pertama adalah "sangat rendah" namun keadaan mula pulih pada minggu kedua.

Kira-kira jam 9.30 pagi pada Selasa lalu, kira-kira 100 orang memenuhi kopitiam tempatan untuk mendengar Pang bercakap. Dia hadir bersama-sama Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung, dan Adun Jementah, Ng Khor Sim.

Beberapa penduduk dari kawasan itu berkumpul di luar kedai. Ada yang membawa keluarga dan anak-anak, dan ada yang duduk di atas motosikal sambil berbual-bual.

Tepuk tangan sambut ucapan

Semasa ucapannya, Pang memberi tumpuan kepada isu dana kawasan yang diperuntukkan kepada ahli parlimen.

Dia menegaskan bahawa ahli parlimen PH akan membelanjakan dana awam secara terus untuk rakyat tanpa melalui orang tengah atau "mengambil diskaun" untuk diri mereka sendiri.

"Jika saya sanggup dirasuah, saya boleh mendapat 20 peratus daripada peruntukan itu dan saya akan mempunyai RM1.6 juta untuk dimasukkan ke dalam kempen saya tanpa melakukan kutipan derma dengan anda semua," katanya.

Isu peruntukan kepada kawasan Labis jelas menjadi strategi utama Pang dalam kempen kali ini.

Dia juga mencabar Tee Yong untuk mendedahkan jumlah dana yang diterimanya untuk kawasan terbabit dari 2008 hingga 2018, dan menyenaraikan sekolah, tempat ibadat atau organisasi yang mendapat bantuan daripadanya.

Chua Tee Yong bersama penduduk Labis

Apabila Pang mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana memberi peluang kepada PH untuk "menangkap pencuri besar dan menghantarnya ke penjara", orang ramai bertepuk tangan dan ketawa besar.

Ia adalah kenyataan bersahaja dan berjenaka merujuk kepada tertangkap dan tersabitnya bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes jenayah di mahkamah baru-baru ini.

"Tetapi masih ramai pencuri yang belum dihukum, kita perlu menang dengan selesa untuk boleh terus membawa pencuri itu ke muka pengadilan," tambahnya.

Semasa sesi bertemu orang awam pada hari yang sama di kopitiam berhampiran, Pang disambut oleh pengundi dan bertemu dengan rakan tempatan lamanya.

Mereka kelihatah bersemangat untuk bersalaman dan berswafoto dengan Pang.

Dengan sentimen tempatan semakin hangat, Pang memberitahu Malaysiakini cabaran terbesar yang dihadapinya sekarang ialah sama ada pengundi luar dan luar negara akan kembali mengundi.

Jelasnya, Labis tidak mempunyai lebuh raya yang berhampiran, selain jumlah penduduk yang tidak ramai. Justeru katanya sukar untuk pelabur datang ke situ dan menyediakan peluang pekerjaan.

Kerana itulah, kata Pang, ramai belia Labis meninggalkan kampung halaman mereka untuk mengejar kehidupan lebih baik di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Singapura.

Untuk menangani kekurangan pekerjaan yang di kawasan itu, Pang berjanji jika menang sekali lagi, dia akan menumpukan usahanya kepada pembangunan eko-pelancongan yang boleh mempromosikan durian Labis serta buah-buahan dan produk pertanian lain kepada pelancong, khususnya dari Singapura.

Dia juga percaya langkah itu boleh meningkatkan ekonomi tempatan dan meningkatkan pendapatan penduduk.

Sementara itu beberapa pengundi Cina dan India yang ditemui Malaysiakini bercerita mengenai sifat Pang yang pemurah selama ini.

Kata mereka ahli politik terbabit menyalurkan sebarang peruntukan dan bantuan terus kepada organisasi atau individu yang berkaitan.

Mereka mendakwa amalan itu boleh mengurangkan kebimbangan terhadap amalan ketirisan atau rasuah, dan ia begitu berbeza daripada BN semasa parti terbabit menguasai Labis.

[Baca laporan penuh]