Skip to main
Logo Malaysiakini

Mampukah parti lain rampas Shah Alam dari PH?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kurang 24 jam sebelum pusat mengundi dibuka, nampaknya belum jelas siapa yang benar-benar menjadi pilihan dalam kalangan pengundi bagi kawasan Parlimen Shah Alam.

Shah Alam merupakan kawasan Parlimen dengan lebih 100,000 pengundi. Berdasarkan data 2018, sejumlah 76 peratus pengundi adalah Melayu, diikuti India (13 peratus), Cina (11 peratus) dan satu peratus yang lain.

Kali ini, seramai empat calon merebut kawasan itu, iaitu Azli Yusof (PH), Hizatul Isham Abdul Abdul Jalil (BN), Afif Bahardin (PN) dan Muhammad Rafique Rashid Ali (Pejuang).

Kesemuanya bertanding buat kali pertama di kerusi Parlimen itu.

Azli, 55, yang menggantikan penyandang Khalid Samad dilihat agak di depan.

Seorang penduduk flat PKNS Seksyen 16 Shah Alam yang hanya ingin dikenali sebagai Wan berkata, dia masih belum memutuskan calon pilihannya.

Lelaki berusia 46 tahun itu mengundi BN dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Dia juga berkata tidak hadir ke mana-mana ceramah politik kerana enggan mendengar ahli politik melemparkan serangan peribadi ke atas satu sama lain.

Di bawah PH sejak 2008

Shah Alam merupakan kubu kuat BN sejak 1974 sehinggalah Khalid Samad - ketika itu masih bersama PAS - menewaskan tokoh Umno, Allahyarham Abdul Aziz Shamsuddin pada PRU 2008.

Sejak itu, ia kekal milik PAS dan kemudiannya Amanah, apabila Khalid Samad keluar dari parti itu.

Pada PRU kali ini, Khalid bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa.

Calon PH kerusi Shah Alam Azli Yusof.

Perlu dinyatakan yang pada PRU 2018, Khalid menang dengan majoriti 33,849 undi. Dia meraih 52 peratus undi, diikuti dengan calon BN (21 peratus) dan PAS (14 peratus).

Azli juga menerima sambutan baik dari kalangan pengundi sepanjang tempoh kempen. Dia merupakan bekas ketua Amanah Shah Alam dan bekas setiausaha politik Khalid.

Pada sebuah ceramah di Seksyen U10 Shah Alam, para hadirin kekal mengikuti sehingga program tamat, malah ada yang mengikutinya ke program seterusnya.

Ada juga yang kekal di situ untuk mendengar ucapan Adun Batu Tiga Rodziah Ismail dan Adun Kota Anggerik Najwan Halimi, yang memang dikenali hadirin.

Kota Anggerik dan Batu Tiga adalah dua DUN di bawah kawasan Parlimen Shah Alam.

Bagaimana dengan calon lain?

Calon BN, Isham Jalil yang merupakan seorang graduan Universiti Harvard, Amerika Syarikat berhasrat merampas kerusi itu kali ini.

Namun, jika melihat kepada kehadiran di ceramahnya, Isham nampaknya berdepan tugas sukar.

Misalnya ketika ceramah di Seksyen 7, khemah kebanyakan besarnya dipenuhi petugas BN. Penduduk flat di sekitar pula hanya melalui kawasan itu dan apabila didekati Malaysiakini, kebanyakannya enggan dinamakan dan hanya berkata "tidak berminat" untuk mengikuti ceramah tersebut.

Calon BN kerusi Shah Alam Isham Jalil.

Untuk rekod, di Seksyen 7, terdapat 58 blok flat kos rendah yang kebanyakannya didiami golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Afif Bahardin dari PN pula merupakan bekas timbalan ketua pemuda PKR dan berharap faktor dirinya sebagai berasal dari Shah Alam mampu memberikan kelebihan.

Muhammad Rafique dari Pejuang pula, walaupun muka baru dalam politik, telah menjadi peguam selama 10 tahun di Shah Alam.

Dengan kesemua calon adalah muka baru, kalangan pengundi terutama yang lebih berusia dilihat lebih cenderung untuk kekal dengan apa yang telah dikenali dan biasa bagi mereka.

Pasangan warga emas yang enggan dinamakan berkata undi mereka akan sama seperti PRU lalu.

"Kami akan pilih parti sama. Tidak bertukar.

"Kami akan undi parti, bukan calon," kata mereka yang telah tinggal selama 30 tahun di Seksyen 6.

Aida Zulyahaniez

Aida Zulyahaniez, 35, pula berkata dia biasanya mengundi berdasarkan "analisis" ibunya.

"Kami rasa PH telah bawa perubahan dan penambahbaikan," katanya yang mengendalikan sebuah restoran di Seksyen 15.

Ganesh Ramalingam, 30, dari Padang Jawa juga cenderung untuk mengundi PH kerana ingin gabungan itu menang di peringkat persekutuan.

Menurutnya, Selangor telah ditadbir PH selama hampir 15 tahun dan dia berpandangan gabungan itu perlu diberi peluang di peringkat persekutuan, selain menangani situasi banjir di situ.

Ganesh Ramalingam