Skip to main
Logo Malaysiakini

Misi Peja tumpaskan 'gergasi' di Tambun mungkin tak kesampaian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sejak dua minggu lalu, bandar Tambun di Perak menjadi salah satu tumpuan selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim memilih kerusi itu untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Anwar berharap untuk menawan kerusi itu, sekali gus menjadi perdana menteri jika gabungan yang diterajuinya menang.

Pencabarnya di kerusi itu termasuk penyandang Ahmad Faizal Azumu dari Perikatan Nasional (PN).

Dua pesaing lain, yang seakan-akan terpinggir daripada sorotan saingan di kerusi itu adalah calon BN Aminuddin Md Hanafiah dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) Abdul Rahim Tahir.

Saingan antara Anwar dan Ahmad Faizal mengundang istilah Inggeris seperti "David vs Goliath", atau dalam peribahasa Melayu, "timun melawan durian".

Di Tambun, meskipun merupakan anak jati Perak, Ahmad Faizal adalah "timun", dan semestinya Anwar dilihat sebagai "durian".

Namun, berdasarkan tinjauan Malaysiakini, Tambun mungkin tidak akan menyaksikan kisah "timun" menewaskan "durian".

Ahmad Faizal Azumu.

Ada yang percaya bahawa Peja (nama panggilan Faizal dalam kalangan penduduk tempatan) mempunyai kelebihan kerana dia adalah bekas menteri besar Perak.

Bagaimanapun, tanggapan itu mungkin tersasar. Sentimen di lapangan menunjukkan bahawa ketua PN Perak itu mempunyai peluang tipis untuk dipilih semula.

Selain daripada berkhidmat sebagai menteri besar selama 28 bulan sahaja, tidak banyak yang diketahui mengenai sumbangan atau strateginya untuk Perak.

Pengundi ketika ditemui mengadu tentang kekurangan pembangunan di kawasan separa luar bandar, khususnya Manjoi.

Terdapat juga petani yang terlibat dalam isu tanah yang berlarutan di negeri ini dan berharap Anwar dapat menyelesaikannya.

Anwar dan sekutunya telah memanfaatkan kelemahan Ahmad Faizal dalam memberi khidmat kepada penduduk tempatan berdasarkan rekod singkatnya sebagai menteri besar dan pengundi nampaknya menerima naratif ini.

Maklum balas yang dikumpul daripada petani di Kanthan mendedahkan sentimen yang sama - Anwar akan muncul sebagai pemenang di Tambun - dengan beberapa mendakwa bahawa dia mempunyai hampir 90 peratus undi mereka.

PM dari Tambun

Peja dan PN menumpukan kempen mereka untuk men yerang Anwar sebagai "orang luar" dan calon "payung terjun", yang mana tidak bergitu berkesan di kalangan pengundi.

Para pengundi nampaknya lebih tertarik dengan kemungkinan mempunyai wakil rakyat yang juga bakal perdana menteri.

Malah pemimpin utama PN termasuk Muhyiddin Yassin dan Mohamed Azmin Ali, selain dari BN, perdana menteri sementara Ismal Sabri Yaakob, yang turun ke Tambun dilihat tidak menjejaskan peluang Anwar untuk menang.

Anwar Ibrahim

Dengan slogan "perdana menteri dari Tambun" di bibir penduduk tempatan, pengerusi PH itu kelihatan bersedia untuk pulang dengan kemenangan esok.

Memberi gambaran menawan Perak dan membentuk “koridor harapan PH” bersama Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, Anwar berjanji akan membawa kemakmuran kepada negeri itu.

Semasa pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada 2018, Anwar membayangkan bahawa kawasan itu akan mendapat manfaat yang besar sekiranya dia dipilih sebagai ahli parlimen.

Dia seterusnya memenangi kerusi itu dengan majoriti 23,506 undi dalam saingan tujuh penjuru.

Pengundi Melayu sebagai penentu

Sebelum ini dilaporkan bahawa masyarakat India akan menjadi penentu di Tambun tetapi peranan ini telah beralih kepada pengundi Melayu.

Dalam daftar pemilih baru, terdapat 160,558 pengundi di kawasan itu di mana 66 peratus adalah Melayu, Cina (20.5 peratus), India (12.1 peratus) dan lain-lain (1.4 peratus).

Undi Melayu mungkin akan berpecah antara tiga gabungan utama, dengan masing-masing berpotensi memperoleh satu pertiga.

Apabila bercakap tentang memenangi hati dan fikiran pengundi Melayu, Anwar sentiasa dipaksa untuk menjelaskan mengenai DAP - parti sekutu mereka yang sering dijadikan sasaran hujah perkauman oleh seteru PH.

Dalam sesi ceramahnya, Anwar memberi jaminan bahawa DAP tidak mengawal PH dan ia sekadar fitnah oleh seteru politiknya.

Jika PH berjaya meyakinkan sekurang-kurangnya 10 peratus pengundi BN, dengan jumlah keseluruhan undi Melayu mencapai 40 peratus, Anwar akan mampu menawan Tambun.

Penganalisis politik Universiti Malaya Prof Awang Azman Awang Pawi bersetuju dengan analisis itu, dan berkata Anwar boleh dengan mudah mengalahkan Faizal dengan sekurang-kurangnya 5,000 undi majoriti.

“Dengan jentera Anwar dan kempen ‘perdana menteri dari Tambun’, saya menjangkakan dia boleh memperoleh majoriti yang sama seperti yang diterima Peja sebelum ini, iaitu lebih 5,000 undi.

“Jika Anwar memperoleh sekurang-kurangnya 40 peratus undi Melayu bersama 80 peratus undi Cina, itu adalah majoriti yang ketara. Dan itu sebelum kita memasukkan undi daripada masyarakat India,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada PRU 2018, Ahmad Faizal menamatkan penguasaan tujuh penggal BN di Tambun, menewaskan Ahmad Husni Hanadziah (BN) dan Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria (PAS).