Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar nafi tandatangan MOU 'Perikatan Harapan' dengan Muhyiddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim menafikan dakwaan dia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan campuran yang digelar sebagai “Perikatan Harapan” selepas PRU15.

Bercakap kepada pemberita petang tadi, Anwar menegaskan ia merupakan pembohongan yang ditimbulkan pihak tertentu yang tahu mereka akan kalah jika berlaku persaingan secara sihat pada pilihan raya esok.

“Mula-mula kata (Ahmad) Zahid dan saya. Semuanya bohong,” katanya selepas bertemu orang ramai pada perlawanan bola sepak persahabatan petang tadi di Padang Meru Permai, Tambun di Perak.

"Penipuan yang dibawa mereka yang rasa akan kalah kalau persaingan itu bersih. Maka mereka gunakan (penipuan). Dalam beberapa jam ini, banyak akan digunakan, banyak fitnah lagi, muflis akhlaknya dan terdesak.

“Bagi saya teliti (dahulu) dan jangan percaya dan rujuk kepada sumber yang sahih, macam belajar hadith," katanya.

Presiden PKR itu mengulas MoU yang didakwa ditandatangani bersama Muhyiddin bertarikh 13 Nov untuk membentuk “Perikatan Harapan”, yang tular di media sosial.

Menurut MOU itu, Muhyiddin dikatakan akan menjadi perdana menteri untuk tempoh dua tahun dari tarikh angkat sumpah sebelum Anwar mengambil alih dan berkhidmat sehingga akhir penggal.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad - yang mempertahankan kerusi Langkawi - mendakwa Zahid yang juga pengerusi BN mempunyai rancangan untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri selepas PRU15.

Sebagai balasan, Mahathir mendakwa Anwar akan membebaskan Zahid daripada kes rasuah di mahkamah.

Ini menjadi "peluru politik" oleh GTA yang diasaskan Mahathir dan juga PN pada peringkat awal semasa tempoh berkempen.

Zahid dan Anwar menepis dakwaan Mahathir. Anwar juga menafikan kewujudan kerjasama sedemikian dan menuntut bekas pengerusi PH itu memberikan bukti.

Yakin dapat majoriti mudah

Sementara itu, Anwar melahirkan keyakinan bahawa PH akan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Calon perdana menteri daripada PH itu meminta rakyat memberi mandat kepada gabungan itu untuk mengubah landskap politik dan menangani isu berkaitan rasuah, salah urus dan tadbir urus yang buruk.

“Insya-Allah, saya optimis kita mampu melakukannya.

“Sekiranya kamu mahu mengubah landskap politik rasuah selama beberapa dekad ini, maka kamu perlu beri peluang yang munasabah kepada alternatif ini (PH).

"Majoriti mudah akan memberi manfaat kepada negara demi kestabilan," katanya.