Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin: 'Ucapan agenda Kristian, Yahudi' tak jejas prestasi PN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengarah pilihan raya PN Mohamed Azmin Ali percaya isu kenyataan Muhyiddin Yassin mengenai Yahudi dan Kristian yang tular sejak dua hari lalu tidak akan menjejaskan prestasi gabungan itu pada PRU15.

Bercakap kepada pemberita di Hulu Kelang pagi ini, menteri kanan sementara itu berkata rakyat hari ini cukup matang untuk memahami bahawa ucapan Muhyiddin yang didakwanya telah dimanipulasi oleh pesaing PN.

"Rakyat hari ni matang. Mereka tahu itu adalah manipulasj sesetengah pihak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan bertulis menjelaskan kenyataan beliau itu telah diputarbelitkan dan disalah tafsirkan.

"Dan saya tidak percaya raktat mudah terpengaruh dgn propaganda seperti ini kerana kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti senantiasa memberikan perhatian dan fokus bagi menjaminkan keharmonian masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan pelbagai agama," katanya.

Azmin bercakap kepada pemberita di luar pagar SK Klang Gate selepas membuang undinya sambil menyatakan keyakinannya mempertahankan kerusi parlimen Gombak .

"Sebab itu dasar-dasar yang diperkenalkan PN termasuk inisiatif telah dilaksanakan, tidak pernah ia mengambil sosok atau pendirian perkauman. Ia senantiasa memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat Malaysia," katanya lagi

Ketika berceramah di Parit Jawa, Johor pada pada 16 Nov lalu, Muhyiddin mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia.

Bagaimanapun, penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu berkata rakaman video ucapannya yang menimbulkan kecaman telah disunting secara terpilih dan disebarkan oleh pihak lawan untuk memburukkan imejnya dan mencipta naratif palsu.