Skip to main
Logo Malaysiakini

Tarikh baru Pilihan Raya DUN Tioman ditetapkan pada 7 Dis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang yang tidak berlangsung hari ini berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi tadi, akan diadakan pada 7 Dis ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan hari ini berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 24 Nov, manakala hari mengundi awal pada 3 Dis.

Katanya, SPR menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Rompin hari ini berhubung kematian calon PN berkenaan.

“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 Nov hingga pukul 11.59 malam, 6 Dis,” jelasnya.

Ini bermakna, PRU15 bagi DUN Tioman diadakan serentak dengan Parlimen Padang Serai susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M. Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu, pada 16 Nov lalu.