Ribut di Kulai: Ibu bersujud lindungi dua anak
Seorang ibu sempat tunduk untuk melindungi dua anak kecilnya apabila siling bumbung rumah musnah akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut di Felda Bukit Permai, di Kulai, pagi tadi.
Najlaa Sueff, 37, berkata ketika kejadian dia sedang memasak di dapur manakala anak keempat dan kelimanya berada berdekatan dan masih tidur.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba dia mendengar jeritan suaminya Sasman Saadon, 44, dari luar rumah, supaya mencari perlindungan.
"Apabila dengar macam pokok nak tumbang, saya pergi kepada anak. Rupanya betul, saya sempat ‘bersujud’ selamatkan anak-anak saya. Syukur tak ada apa-apa," kata ibu anak lima itu kepada pemberita di rumahnya.
Katanya, dia merancang bersama suami untuk pergi mengundi di sekolah berhampiran pada waktu pagi tetapi terpaksa melewatkannya kerana musibah itu.
Sementara itu, Liyana Kamarudin, 37, berkata ketika kejadian dia cuma bersama tiga anaknya manakala suami keluar bekerja sebagai pemandu lori.
"Apabila angin kuat sangat, saya dengan anak-anak duduk di bilik ketakutan. Sebelum ini pernah terjadi tetapi tak seteruk ini. Lepas setengah jam, baru saya dan anak-anak berani keluar," katanya.
Meskipun dilanda bencana, Liyana sempat menunaikan tanggungjawab mengundi 11 pagi tadi di sekolah berhampiran.
Pemilik kedai makan Ashar Isnin, 56, pula berkata ini merupakan kali pertama kejadian ribut berlaku sepanjang 20 tahun berniaga di situ.
"Masa kejadian saya tengah layan pelanggan, adalah dalam lima enam orang, apabila tiba-tiba ribut, habis pelanggan saya bertempiaran lari. Tinggal saya, anak dan dua pembantu di sini," katanya yang sempat mengundi di pusat berhampiran.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor melawat mangsa terlibat dan menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 serta bakul makanan.
Lebih 100 penduduk terjejas, manakala 19 rumah dan tiga premis kedai mengalami kerosakan susulan dihempap pokok dan bumbung rosak dalam kejadian ribut di Felda Bukit Permai serta kawasan sekitar antara 8 hingga 9 pagi tadi.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai