Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa yang kami buat di Malaysiakini?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Malaysiakini berumur 23 tahun hari ini.

Di bawah ialah ucapan pengasas bersama merangkap ketua pengarang kumpulan dalam mesyuarat Ketua-ketua Jabatan (HOD) Malaysiakini, baru-baru ini.


Siapa kita? Apakah sebenarnya yang kita buat?

Malaysiakini berumur 23 tahun hari ini. Dalam umur hampir dua dozen ini, ini antara soalan yang kadangkala saya tanyakan kepada diri sendiri.

Jawapannya ada dalam buku panduan kakitangan - (1) memberikan laporan bebas dan berimbang kepada masyarakat, (2) meletakkan standard baru kewartawanan, (3) mendukung pembangunan kebebasan bersuara, keadilan sosial dan demokrasi di Malaysia.

Saya lihat misi kita lebih besar daripada itu dan perkara itu ialah – mewariskan dunia yang lebih baik daripada yang kita warisi.

Inilah yang kita lakukan. Inilah diri kita.

Tahun lepas, kita-kira 50 peratus pendapatan kita datang daripada langganan, 30 peratus daripada iklan jaringan (melalui pihak ketiga seperti Google dan Facebook), 20 peratus daripada iklan langsung (pengiklan tempatan).

Ya, ada sumber pendapatan lain, tetapi inilah tiga pendapatan teras kita. Yang janakan pendapatan untuk kita di Malaysia – bukan hanya jenama, tetapi kata-kata, gambar dan video yang kita hasilkan.

Dan apa yang kita lakukan bukan hanya menjana wang untuk meneruskan kerja dan berkembang, tetapi membantu menjadikan bumi ini tempat yang lebih baik untuk anak cucu kita dan generasi akan datang.

Inilah misi kita. Jangan lupa perkara ini.

Menggapai yang mustahil 

Siapa yang bekerja rapat dengan saya dalam tahun-tahun terakhir tahu tentang gaya kepimpinan saya. Saya bukan pengurus yang mengambil tahu sampai ke sekecil-kecil perkara. Saya pilih orang yang bagus dan beri motivasi supaya mereka melakukan yang terbaik.

Saya memimpin melalui teladan dan berharap orang lain melakukan perkara yang sama. Kita layan semua orang dengan rasa hormat – inilah maksudnya menghargai rakan-rakan seperjuangan tidak kira siapa, daripada tukang sapu sehinggalah kepada seorang CEO.

Saya galakkan perbahasan, perbincangan dan kritikan sesama sendiri (sudah tentu dalam keadaan berhemah). Saya percaya tiada seorang pun tahu semua perkara. Bukan saya. Bukan juga anda. Saya percaya jika kita bekerjasama, menggembleng kemahiran dan maklumat, kita boleh jadi terbaik daripada yang terbaik.

Individu yang bekerja secara sendirian kadangkala boleh mencapai hasil yang luar biasa; tetapi sebagai satu pasukan, bekerjasama, kita boleh mencapai kemustahilan.

Kita tidak perlu lihat ke arah lain untuk mendapatkan inspirasi ini. Lihatlah sekeliling anda - lelaki dan wanita, rakan-rakan kita. Merekalah inspirasi kita.

Integriti amat penting

Pelabur legenda Warren Buffet pernah berkata:

“Kita lihat tiga perkara ketika mengupah orang. Kita lihat kepandaian, kita lihat inisiatif atau tenaganya dan kita lihat pada integritinya.

“Tetapi mereka tiada ciri terakhir (integriti), dua lagi (ciri) akan bunuh kamu.”

Menurutnya, seseorang yang bijak dan rajin tetapi tiada integriti, dia boleh merosakkan sesebuah organisasi.

Bagi Buffet, jika kamu mahu gunakan seseorang yang tiada integriti, kamu mahu mereka bodoh dan malas, jadi kurang kerosakan yang mereka lakukan.

Tetapi apakah integriti?

Integriti ialah melakukan perkara yang betul tidak kira apa keadaan, mempunyai kompas moral serta prinsip-prinsip etika yang kukuh.

Dan jika kita dapat lakukannya, kita boleh memulakan langkah yang perlu untuk menjayakan misi kita – memainkan peranan untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Inilah yang kita lakukan. Inilah kita. Kitalah Malaysiakini. Jangan lupa perkara ini.


Akses percuma dua minggu laman berbahasa Inggeris dan Mandarin Malaysiakini sempena PRU15 akan berakhir pada tengah malam ini. Media bebas perlukan kebebasan kewangan. Kami perlukan dukungan anda. Langganan anda akan membantu mendanai misi kami untuk mewariskan dunia yang lebih baik daripada apa yang kita warisi.

Langkan sekarang untuk mendapatkan lebih banyak berita dan pandangan-pandangan yang penting.