Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: Apabila Mahathir, ‘gergasi’ lain ditumbangkan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika PRU15 menyaksikan keputusan Parlimen yang tergantung, pengundi sebenarnya menghantar mesej yang jelas kepada beberapa tokoh dan nama besar dalam arena politik negara.

Antaranya, paling ketara kepada perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini, iaitu Dr Mahathir Mohamad yang mengalami kekalahan teruk di Langkawi dengan hanya mampu berada di tempat keempat dalam pertarungan lima penjuru. Dalam kekalahan mengejut itu, kerusi berkenaan dirampas oleh Mohd Suhaimi Abdullah dari PN yang mendapat 13,518 undi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

Langkawi dikenali sebagai amat dekat dengan ahli politik veteran itu semasa dia menjadi perdana menteri. Dia menarik ramai pelabur ke pulau itu dan menjadikannya destinasi pelancongan antarabangsa.

Dr Mahathir Mohamad hilang wang pertaruhan

Pada usia 97 tahun, sudah pasti ini adalah pilihan raya terakhir buat pengerusi Pejuang itu, dengan dia sendiri sebelum ini berkata demikian ketika mengumumkan pencalonannya pada Oktober:

"Saya tidak akan hadir untuk PRU16."

Anaknya, Mukhriz juga mengalami nasib yang sama. Bekas menteri besar Kedah itu kehilangan kerusi parlimen Jerlun, tempat dia berkhidmat sejak 2018, selepas PN memenangi kerusi itu semalam dengan majoriti 20,456 undi.

Seteru politik ketat Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah pula menyaksikan penguasaan selama 48 tahunnya sebagai ahli Parlimen Gua Musang berakhir.

Tengku Razaleigh Hamzah kalah dengan hanya 163 undi

Namun, berbeza dengan kekalahan teruk Mahathir dan anaknya, Tengku Razaleigh kalah tipis kepada calon Perikatan Nasional Mohd Azizi Abu Naim yang menang dengan hanya majoriti 163 undi.

Di kerusi lain, bekas pemimpin PKR yang “berpaling tadah dan menikam belakang” semasa Langkah Sheraton seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin ditolak oleh pengundi di Gombak dan Ampang.

Azmin terpaksa akur dan tunduk kepada bekas anak didik Amirudin Shari di Gombak dengan mjoriti 12,729 undi manakala Zuraida pula dihina dengan bukan sahaja tumbang tetapi hilang wang pertaruhannya selepas kalah teruk kepada Rodziah Ismail dari PKR.

Azmin Ali kalah di Gombak

Menteri Kesihatan Sementara Khairy Jamaluddin, yang mengumumkan hasratnya untuk membersihkan partinya, Umno, dan menjadi perdana menteri pada masa depan, tewas kepada R Ramanan dari PKR di Sungai Buloh yang memperoleh 50,943 undi untuk menikmati majoriti 2,693 undi.

Bagi Menteri Kewangan Sementara Tengku Zafrul Aziz yang bertanding di Kuala Selangor tewas di tangan penyandangnya Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan yang mendapat 31,033 undi. Pemimpin Amanah itu bernasib baik apabila menang tipis dengan majoriti 1,002 mengatasi Zafrul yang mendapat 30,031.

Malam tadi juga tidak begitu cemerlang buat PKR yang menyaksikan kekalahan mengejut ‘Puteri Reformasi’ Nurul Izzah di kubu kuatnya di Permatang Pauh. Dia terpaksa menyerahkan kerusi itu kepada calon PN Muhammad Fawwaz Mat Jan yang menang dengan majoriti 5,272.

Nurul Izzah Anwar tewas di Permatang Pauh

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik turut mengalami kekalahan di kerusi masing-masing.

Di Batu, penyandang kerusi itu P Prabakaran yang mewakili PKR - menang selesa dalam pertandingan ke atas sembilan lawannya, termasuk Azhar Yahya dari PN (23,475 undi), naib presiden MIC, A Kohilan Pillay (10,398 undi) serta bekas rakan seperjuangan parti Tian Chua - yang telah bertanding sebagai calon bebas di kerusi itu dan hanya meraih 4,603 undi.

Pengundi Sepang turut membantu menolak Rina Harun dari Bersatu, manakala Mahadzir Khalid dan Tengku Adnan Tengku Mansor masing-masing juga ditunjukkan jalan keluar. Radzi Jidin yang mewakili PN berjaya merampas Putrajaya.

Di Sungai Siput, Presiden MIC S Vigneswaran tewas kepada S Kesavan dari PKR - yang menang dengan majoriti tipis 1,846 undi, manakala bekas presiden MCA Liow Tiong Lai pula dikecewakan oleh wakil DAP, Young Syefura Othman di kerusi yang pernah didudukinya di Bentong.