Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | PH dan BN wajar selamatkan Malaysia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Kini sudah rasmi - Pakatan Harapan (PH) memenangi jumlah kerusi terbesar pada PRU ke-15 namun ia tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.

Ketika jalan yang terbuka di depan adalah bekerjasama dengan parti lain, sangat wajar untuk PH diberi peluang terawal untuk cuba membentuk kerajaan.

Itu bermakna, PH tidak boleh bersendirian dengan pasukannya, perjuangannya, manifestonya dan kepimpinannya sahaja.

Demi Malaysia yang kembali gemilang, PH mesti mendekati sama ada BN, PN ataupun parti-parti di Borneo. Dalam keadaan sekarang usaha adalah lebih mudah jika PH cuba bersama BN.

Apakah dengan kerjasama itu PH boleh dianggap lari daripada prinsipnya menentang rasuah dan kezaliman? Jawapannya: tidak sama sekali. Perjuangan itu masih boleh - malah mesti - mesti diteruskan.

Sementara itu, adakah BN akan kekal dengan amalan menyeleweng dan salah lakunya jika bersama dengan PH sebagai pentadbir negara? Sekali lagi, dalam keadaan sekarang, ia boleh diragui.

Dengan kekalahan yang mengejutkan semalam, sudah tentu BN melakukan muhasabah secara drastik. Muhasabah itu dapat dilakukan walaupun ketika ia menjadi kerajaan bersama PH.

Bahkan proses pembersihan itu lebih mudah untuk dilaksanakan dalam keadaan tersebut. BN boleh berganding bahu dengan PH bagi membersihkan negara daripada kejahatan rasuah.

Kepentingan lain yang tidak kurang mustahak diharapkan daripada kerjasama PH dan BN ialah untuk menyelamatkan negara daripada pemikiran ekstrem agama.

Antara ancaman besar yang sedang dihadapi ummah sekarang ialah kecenderungan kumpulan tersebut yang suka melabel orang Islam yang tidak sehaluan dengan gelaran jahat seperti munafik, fasik, kafir dan seumpamanya.

Perbezaan politik dijadikan ukuran buat mereka menilai akidah umat Islam.

Mereka sangat yakin bahawa hanya Muslim yang berfahaman seperti mereka sahaja betul dan dirahmati tuhan, manakala yang selainnya dilabel sebagai kumpulan yang akan mendekam di neraka.

PH dan BN mesti menyelamatkan Malaysia daripada pemikiran sebegitu melalui pembentukan kerajaan yang ada di dalamnya PN atau sekurang-kurangnya salah satu parti dalam gabungan berkenaan.

Malaysia memerlukan kesederhanaan sesuai dengan semangat yang dianjurkan Islam, di samping bertungkus-lumus membangunkan semula ekonomi negara dan rakyat.

Dengan kerjasama PH dan BN, parti kecil yang lain akan mudah mendekat serta bekerjasama mengukuhkan kerajaan, khususnya dari Sarawak dan Sabah.

Selamatkan Malaysia!


ABU ILYAS ialah pelajar sarjana sains politik, Universiti Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.