Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Presiden Umno mesti undur sekarang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lagi desakan dari dalam BN untuk Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatannya sebagai presiden parti itu.

Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggunakan analogi perang untuk memberi isyarat kepada Ahmad Zahid agar berundur.

Katanya dalam sesebuah peperangan jika tentera itu gagal, panglima besarnya perlu bermaruah untuk mengambil tanggungjawab.

Keperluan itu lebih mendesak, kata Khairy yang kalah di Sungai Buloh, apabila strategi yang diatur oleh pemimpin terbabit menyebabkan ramai tentera yang "tersungkur."

"Presiden mesti undur. Sekarang. Reformasi Umno tak boleh ditangguh lagi," katanya di Twitter.

Sementara itu Wanita BN Wilayah Persekutuan meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai pengerusi gabungan tersebut dan menyerahkan teraju kepimpinan kepada timbalannya, Mohamad Hasan.

Ketuanya, Zurainah Musa, berkata pengerusi BN itu wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat kepada BN dalam PRU semalam.

"Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 rakyat menegur Umno (dan) BN, dalam PRU ke-15 rakyat menolak Umno, BN.

"Oleh itu pengerusi BN wajib bertaggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat.

"Justeru Wanita BN Wilayah Persekutuan menggesa Ahhad Zahid meletak jawatan sebagai pengerusi dan presiden Umno serta-merta. Umno perlu segera melakukan penstrukturan parti," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Zurainah juga menegaskan pendirian pergerakan itu ialah menolak sebarang kerjasama dengan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dan DAP yang menjadi komponennya.

"Pendirian Wanita BN Wilayah ialah 'no Anwar, no DAP' seperti diputuskan perhimpunan agung Umno lalu," katanya.

Dia juga berkata, tiada siapa boleh melanggar ketetapan tersebut termasuk presiden, biro politik dan majlis kerja tertinggi (MKT) mereka.

SA Vigneswaran

Sementara itu dua sayap dalam MIC juga mengeluarkan kenyataan sama.

Ketua Pemuda MIC kebangsaan,K Raven Kumar, berkata Ahmad Zahid adalah liabiliti kepada BN sehingga mengakibatkan nama-nama besar lain dalam parti turut tewas.

"Majoriti anak muda berpandangan bahawa BN masih dalam cengkuman 'warlords' serta kluster mahkamah.

"Jelas dapat dilihat bahawa Ahmad Zahid adalah liabiliti sebenar kepada BN," katanya.

Tambah Raven Kumar, antara nama besar yang kalah semalam termasuklah Khairy, Tengku Zafrul Abdul Aziz, malah Presiden MIC sendiri, SA Vigneswaran.

Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy, berpendapat Ahmad Zahid perlu berjiwa besar dengan melepaskan jawatan tersebut.

Katanya, ketika ini itulah jalan terbaik untuk BN yang berusaha memulih dan memperbaiki parti berkenaan.

“Anggaplah ini satu pengajaran buat kita semua. Peletakan jawatan ini juga untuk memberi laluan kepada pimpinan lain yang mampu membawa perubahan jika BN tidak mahu berdepan dengan penolakan lebih teruk pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, pemimpin Umno Kedah Othman Aziz (gambar, atas) hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah sebagai mengambil tanggungjawab moral susulan kekalahan BN khususnya parti itu di Kedah pada PRU15.

Othman, yang tewas di parlimen Jerlun, turut mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan ekoran prestasi buruk dan teruk parti serta BN.

“Kita telah mencuba sehabis baik dan kita menerima ini adalah satu penolakan mutlak orang-orang Melayu terhadap Umno ketika ini maka sudah tentulah kita merasakan kita memerlukan satu rombakan ataupun baik pulih dari segi kepimpinan Umno.

“Jadi saya menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden Umno berfikir secara terbuka dan berjiwa besar untuk melepaskan jawatannya,” katanya.

Jelasnya, pengundi khususnya orang Melayu memberi mesej cukup jelas bahawa mereka tidak suka cara pemimpin Umno mengemudi parti itu.

Pada PRU15 semalam, BN tewas di kesemua 14 kerusi parlimen yang ditandingi di Kedah.