Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin tak sebut BN sokong PN jadi k'jaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi PN ketika umum gabungannya raih sokongan cukup bentuk kerajaan berkata penyokongnya ialah GPS Sarawak, GRS Sabah dan "beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain."

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan gabungannya mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan tidak menyebut nama BN.

Muhyiddin berkata penyokongnya ialah GPS Sarawak, GRS Sabah dan sejumlah ahli parlimen yang tidak dinamakan daripada gabungan mana.

"Beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama," kata Muhyiddin pada satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat sejurus selepas GPS berkata ia bersedia bekerjasama dengan PN, BN dan GRS untuk membentuk kerajaan.

Ia juga menunjukkan tidak semua 30 ahli parlimen BN akan menyokong PN dan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya cuba menyelaraskan gabungan BN dengan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, dikatakan beberapa ahli parlimen BN yang mesra PN dan telah menjadi penyokong kerjasama itu menentang keras usaha Zahid itu.

Tanpa BN, gabungan PN, GPS, dan GRS hanya mempunyai 101 kerusi di parlimen.

Mereka memerlukan 10 lagi kerusi parlimen untuk memenuhi majoriti mudah ketika ini iaitu 111, atau 11 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti 112 yang lebih stabil sebaik sahaja dua kerusi parlimen yang kosong diisi.

Di bawah undang-undang antilompat, ahli parlimen tidak kehilangan kerusi mereka jika mereka tidak berundur atau meletak jawatan daripada parti mereka.

Secara teorinya, ini membolehkan ahli parlimen menentang arahan parti dalam menyokong calon perdana menteri.

Bagaimanapun, sesetengah parti seperti DAP telah meminda peraturan organisasi supaya ahli parlimen yang menentang keputusan parti itu dianggap telah "meletak jawatan" - sekaligus mencetuskan pelaksanaan undang-undang antilompat. BN tidak membuat pindaan yang sama terhadap pertubuhannya.

Pemulihan PN lepas tewas di Melaka, Johor

Selepas prestasi buruk pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor, gabungan PN pimpinan Muhyiddin bangkit kembali semalam dan menawan semua kerusi di Kelantan, Terengganu dan Perlis, serta hampir semua kerusi parlimen Kedah kecuali satu.

Gabungan itu juga menang besar di Perak dan Pahang, dan turut menawan kubu kuat PH seperti Permatang Pauh dan Kuala Langat.

Secara keseluruhan, PN memperoleh 73 kerusi manakala GRS bahagiannya di Sabah menang enam kerusi.

PH menjadi gabungan yang menang kerusi terbanyak pada PRU15 dengan 82 parlimen.

Pengerusinya Anwar Ibrahim juga mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Anwar berkata telah mendapat sokongan 112 kerusi parlimen walaupun tidak menamakan daripada mana sokongan itu datang.