Skip to main
Logo Malaysiakini

Langkah ke Putrajaya: Diari pasca-PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perlumbaan ke Putrajaya telah menyaksikan perkembangan pesat, kejutan dan perubahan arah dan garisan penamat pula masih sukar difahami.

Malaysiakini merangkumkan apa yang telah berlaku dan akan mengemas kini laporan ini setiap hari. Artikel ini dikemas kini setakat jam 2 petang Rabu, 23 Nov.

Mula-mula, ingat kembali berapa kerusi yang dipegang oleh setiap gabungan.

Pakatan Harapan mempunyai 82 kerusi, Perikatan Nasional 73 kerusi, GRS di Sabah 6 kerusi, GPS Sarawak memilki 23 kerusi, BN 30, Warisan 3, KDM 2, PBM 1 dan seorang wakil rakyat bebas.

Ahad, 20 Nov: Pecutan awal, Muhyiddin mendahului

Dengan 79 kerusi daripada PN dan GRS, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kelihatan lebih unggul pada Ahad selepas GPS - yang mempunyai 22 kerusi pada masa itu - mengikrarkan sokongannya.

Bagaimanapun, kekurangan 11 kerusi daripada majoriti mudah, Muhyiddin masih memerlukan sokongan daripada BN.

Sokongan GPS terhadap Muhyiddin juga kelihatan bergantung jika BN menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan GPS bahawa BN akan bergabung dengan PN - walaupun beberapa ahli parlimen BN condong ke arah itu.

Isnin, 21 Nov: PH pujuk BN

Cuba untuk mengejar langkah PN, PH dan BN mengadakan pertemuan bersama di Hotel Seri Pacific - yang bersebelahan dengan ibu pejabat BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Di sana, BN memutuskan untuk bergerak sebagai satu blok - walaupun dengan beberapa ahli parlimen tidak hadir.

Anwar kemudiannya berkata BN memerlukan sedikit lagi masa untuk membuat keputusan tetapi yakin dia boleh membentuk kerajaan campuran dengan sokongan mereka.

Dengan latar belakang ini, PH memutuskan bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri di Perak di bawah pimpinan menteri besar sementara BN Saarani Mohamad - walaupun BN hanya mempunyai sembilan kerusi DUN manakala PH mempunyai 24.

Sementara itu, tiga ahli parlimen Sabah, dua daripada KDM dan seorang bebas turut memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

Di Sarawak, pengundian di beberapa pusat mengundi parlimen Baram ditangguhkan pada Sabtu, kemudian berakhir dengan kemenangan GPS - yang kini mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, sokongan GPS untuk PN goyah dengan seorang pemimpin berkata keputusan muktamad akan dibuat kemudian.

Selasa, 22 Nov: BN kekal jadi pembangkang

Berdasarkan jangkaan kerajaan PH-BN, Warisan mengisytiharkan tiga ahli parlimennya menyokong gabungan itu.

Bagaimanapun, BN sebaliknya memutuskan untuk kekal sebagai pembangkang dan berkata tidak akan menyertai mana-mana kerajaan.

Namun, BN berkata pihaknua terbuka untuk memeterai perjanjian untuk menyokong pembentukan kerajaan - membayangkan mereka bersedia untuk menandatangani perjanjian keyakinan dan pembekalan dengan kerajaan minoriti.

Sementara itu, GPS nampaknya menimbang semula pendiriannya - meletakkan sokongan gabungan itu kepada sesiapa yang diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri.

Dengan kurangnya kejelasan mengenai siapa yang mendapat sokongan majoriti, kedua-dua Anwar dan Muhyiddin dipanggil ke istana.

Beberapa media melaporkan bahawa Anwar akan dilantik sama ada sebagai perdana menteri atau perdana menteri sementara.

Bagaimanapun, apabila dia meninggalkan istana, pengerusi PH itu berkata setakat ini belum ada keputusan dibuat.

Muhyiddin kemudian berkata Agong mencadangkan kerajaan perpaduan tetapi ditolak PN.

Dia bertegas bahawa PN mempunyai 115 ahli parlimen dan telah pun mengemukakan SD yang berkaitan.

Rabu, 23 Nov: BN, GPS jumpa Agong

Dalam usaha untuk menyelesaikan kebuntuan itu, Agong memanggil kedua-dua pemimpin GPS dan BN untuk bertemu dengannya.

Pemimpin GPS Fadhillah Yusof memberitahu media bahawa gabungan Sarawak masih teguh menyokong PN.

Dengan tiada lagi ketetapan, Yang di-Pertuan Agong telah memanggil Majlis Raja-Raja untuk bermesyuarat esok.

[Akan dikemaskini]