'Tiada perang', GRS-BN kekal utuh terajui Sabah - Joniston
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai yakin pentadbiran GRS dan Barisan Nasional (BN) akan kekal utuh menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata pentadbiran GRS-BN yang telah menunjukkan keserasian, keberkesanan dan kecekapan dalam tempoh dua tahun mentadbir Sabah tidak seharusnya diganggu-gugat.
“Jadi, saya pasti kerajaan GRS-BN akan kekal utuh kerana pada akhirnya pertimbangan adalah demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Saya tidak fikir kita mahu mengganggu-gugatnya. Jika ia yang terbaik mengapa kita mahu ganggu?” katanya dalam sidang media program Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti 2022 di Pejabat Lembaga Pelancongan Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengulangi bahawa tidak ada sebarang ‘peperangan’ antara GRS dengan BN Sabah.
Semalam, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya gabungan itu mengisytihar ‘perang’ terhadap BN Sabah kerana tidak ada apa-apa alasan atau keperluan berbuat demikian memandangkan GRS telah turun padang berkempen membantu calon parti itu di kawasan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Ketua Menteri Sabah itu juga berharap BN Sabah akan terus bekerjasama dalam mentadbir negeri selaras dengan mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020 untuk membentuk kerajaan GRS-BN.
Terdahulu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata tindakan GRS menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri melanggar perjanjian kerjasama dua parti itu dan mendakwa ia tindakan isytihar perang kepada BN Sabah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai