DAP mohon maaf kepada k'jaan, rakyat Sarawak
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GPS dan Premier Sarawak, Abang Johari Openg di Kuching.
Dalam pertemuan itu, Loke berkata DAP memohon maaf kepada Abang Johari di atas sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan penduduk Sarawak.
"Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra. Saya telah memaklumkan kepada premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka.
"Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi Malaysia yang lebih maju dan progresif," kata Loke dalam kenyataan.
Pertemuan turut disertai oleh Timbalan Premier Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian.
Kenyataan ‘Sarawak akan bangkrap’
Pada 2019, bekas setiausaha agung DAP Lim Guan Eng ketika menjadi menteri kewangan berkata Sarawak akan bangkrap dalam masa tiga tahun jika GPS kekal mentadbir negeri itu.
Menurut Lim, rizab RM31 bilion negeri itu akan habis digunakan dalam tempoh itu jika GPS kekal dengan belanjawan tahunan berjumlah RM11 bilion.
Dia juga memberi peringatan kepada Sarawak agar tidak mengikut jejak Kelantan, yang didakwanya ditadbir dengan begitu teruk sehingga tidak mampu membayar gaji penjawat awam negeri.
Hari ini, Lim turut menyuarakan permohonan maaf yang serupa, tidak lama selepas permohonan maaf Loke.
Lim dalam kenyataannya memohon maaf atas kenyataannya yang mungkin pernah menyinggung perasaan Abang Johari dan kerajaan negeri pimpinan GPS.
"Saya mohon maaf atas kenyataan saya yang mungkin telah menyinggung perasaan premier Sarawak dan kerajaan negeri pimpinan GPS.
"Masa depan negara lebih penting. Marilah kita membuat permulaan baru untuk bekerjasama demi mengekalkan kepelbagaian, keterangkuman dan kesatuan masyarakat berbilang agama dan budaya kita, serta melindungi Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.
GPS sebelum ini berkata gabungan itu menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, namun mengubah pendirian itu selepas BN berkata mereka akan kekal sebagai pembangkang dan tidak menyokong mana-mana pihak.
Semalam, lima wakil GPS menghadap Agong yang kemudian menasihatkan agar menyokong penubuhan kerajaan perpaduan.
'Salam perdamaian' DAP kepada GPS hari ini ketika spekulasi mengenai pembentukan kerajaan perpaduan itu dilihat semakin hampir menjadi kenyataan.
Parti itu sering kali dilihat sebagai penghalang utama untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama dengan PH.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai