PULASAN | Surat terbuka bukan untuk PM ke-10
PULASAN | Apa barang menulis untuk seorang perdana menteri, kan? Tambahan pula menulis untuk seseorang yang sedang sibuk dengan hampir semua perkara.
Justeru adalah lebih bijak untuk kita menulis kepada orang selain perdana menteri, khususnya golongan tertentu yang kebanyakannya sedang tenggelam dalam euforia.
Maka tulisan ini ditujukan kepada merekalah. Atau boleh juga dimaksudkan kepada semua orang kecuali perdana menteri.
Akhirnya negara bertuah ini memperoleh seorang perdana menteri yang asalnya dijangkakan menjadi perdana menteri kira-kira 20 tahun silam. Ia adalah suatu penantian yang sangat panjang.
Jika diandaikan tempoh itu dengan seorang manusia yang lahir sewaktu Anwar ditendang keluar dari kerajaan, hari ini dia adalah seorang anak muda yang sudah boleh diharapkan.
Selain namanya sudah berada dalam senarai pengundi, dia juga mungkin seorang pempengaruh di TikTok yang memakan gaji dengan menyebarkan fitnah juga.
Pedulilah kalau dia seorang anak muda yang bercakappun masih pelat dan 'tak lepas'-pun, pakailah jubah dan lilitlah kepala dengan serban serba sedikit, rakamkan video pendek dan bercakap bagaikan mengigor untuk menakut-nakutkan orang ramai kepada 'hantu' 13 Mei, misalnya.
Rasa seronok dikipas-kipas
Nescaya akan ramai mak cik atau pak cik yang percaya. Itu belum lagi diambil kira anak-anak muda sebaya yang sebelumnya tidak mengambil endah apa pun tentang politik. Bangsa - dalam konteks ini, Melayu - yang selalu malas berfikir memang mudah takut kepada sesuatu yang mereka tidak tahu.
Malangnya bangsa itu terlalu banyak tidak tahu dan malas pula mengambil tahu.
Maka dengan itu terlalu banyak pula yang mereka takutkan, kecuali kepada janji tuhan kepada si penipu dan penyebar kebencian.
Pada masa yang sama, naiknya seorang tokoh baru menjadi perdana menteri juga membawa isyarat akan terbentangnya peluang yang luas untuk menjadi 'senang' secara mudah. Ia biasanya tidak memerlukan banyak modal kecuali kesanggupan menjadi pandir.
Atau dengan sedikit syarat tambahan yakni belajar untuk menjadi muka tebal. Jika ada yang masih sukar faham, mari saya permudahkan: Gais, sekarang adalah masa yang sangat baik untuk jadi pengampu!
Ia adalah suatu kerja yang sangat mudah kerana dua sebab. Pertama, ada orang yang seronok dikipas-kipas dengan puji-pujian. Ia merupakan pengalaman sangat menyeronokkan kerana berada 'di atas' orang lain adalah suatu keistimewaan.
Kedua, ketika ini ada ramai orang yang sedang cuba menukar diri masing-masing daripada manusia biasa kepada kipas - atau malah penyaman udara - yang luar biasa. Bukankah mengampu itu akan menjadi lebih mudah apabila kita menjadi kipas atau penyaman udara?
Dalam kategori kipas/penyaman udara itu pun ada dua kategori. Pertama, orang yang ikhlas mahu menjadi pengampu; dan kedua, orang yang berasa dia perlu menebus segala dosa silamnya terhadap Pakatan Harapan (PH).
Mereka itu mungkin kakitangan di sektor awam yang bercokol di mana-mana kementerian, jabatan atau agensi kerajaan yang jarang gagal memperolok pihak kerajaan sekarang.
Tak sedar sedang diampu
Orang dalam kategori itu agak mudah untuk dikenali kerana perubahan sikap mereka yang ketara. Misalnya mereka akan menjadikan diri masing-masing seorang penyokong kerajaan yang lebih tegar berbanding pendukung PH sendiri.
Atau suatu ketika dulu ke hulu ke hilir membuat lawak "PM tepi" kepada Anwar Ibrahim.
Manusia yang sebegitu juga ada dalam persekitaran perniagaan seperti kontraktor yang hidupnya banyak bergantung kepada tuah 'Ali Baba'. Masalahnya ialah, dia bukan Ali atau Baba, sebaliknya watak yang cukup penting di sebalik kisah Ali Baba.
Siapakah mereka itu? Apa lagi kalau bukan 40 penyamun, dan mereka sedang gigih mencari jalan untuk menyelamatkan tengkuk masing-masing!
Baiklah, saya mungkin silap sedikit di sini tadi. Bukan ada dua sebab mengapa mudah untuk menjadi pengampu, sebaliknya tiga.
Sebab ketiga ialah sesungguhnya kerja menjadi pengampu itu 'tersangatlah' mudah. Ia menjadi lebih mudah kerana pada kebanyakan masa akan ada watak atau individu yang tidak sedar dia sedang diampu.
Dengan cara yang betul tugas sebagai pengampu itu akan beransur-ansur meningkat 'maqamnya' menjadi 'penjilat tegar' kepada pemimpin kerajaan. Muncah yeop!
Barangkali dengan sedikit nasib yang baik kita boleh menemui orang sebegitu dalam waktu terdekat ini. Atau mungkin juga ia sedang berada di sebelah anda sambil berbual-bual tentang isu telur yang menjadi masalah nasional sekarang.
Gigih kumpul pahala
Benar, terlalu lama menjadi pembangkang menjadikan seseorang itu kurang cerdas untuk menilai kenalan mereka sehingga kegiatan mengampu dan menjilat itu akan dianggap sebagai suatu jihad demi negara.
Cukup sekadar itu dulu cadangan saya buat orang ramai yang kebanyakannya masih bergembira dengan selesainya kemelut politik negara.
Pada masa sama, harus kita akui di sana sini masih ada juga orang yang belum lagi dapat move on dengan keputusan Yang di-Petuan Agong memilih seorang ahli parlimen dari Perak menjadi perdana menteri.
Tetapi bersabar sajalah. Biarkan mereka mencurahkan rasa sakit hati itu di dalam kumpulan WhatsApp masing-masing kerana nampaknya ia sudah menjadi saluran maklumat yang lebih diyakini mereka.
Berfikir - bagi sesetengah orang - memang sangat menyulitkan.
Untuk makluman anda, catatan ini ditulis dan disiapkan di sebuah kedai dobi layan diri yang terletak di persimpangan Jalan Pasir Puteh-Jalan Sultan Azlan Shah, bandar raya Ipoh.
Setakat jam 1.13 pagi ini sudah ada entah berapa puluh anak muda Melayu beragama Islam mengumpul 'pahala' dengan menyakitkan telinga dan hati orang ramai melalui ekzos motosikal masing-masing.
Maklumlah, tidak seperti Selangor, mereka tidak perlu risau sangat tentang masalah ayor. Justeru mereka perlu lebih gigih melayan TikTok. Kemudian juga kena merempit kerana takut 13 Mei berulang gamaknya.
Akhirnya, tahniah juga kepada perdana menteri yang baru. Harap-harap dia sedar di depan sana ada banyak jalan yang kasar dan berlubang.
Di kiri dan kanan pula pasti akan ada orang yang mengiringi langkahnya. Sesetengahnya dengan menggenggam erat pisau tajam.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pada nombor kad pengenalannya tertera kod negeri 08.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai