Dituduh 'pengkhianat', Saarani jawab demi rakyat
Menteri Besar Saarani Mohamad menjelaskan tindakannya menubuhkan kerajaan perpaduan dengan PH demi rakyat dan negeri Perak supaya memastikan pentadbirannya stabil sejurus selepas PRU15.
Menjawab label "pengkhianat" yang dilemparkan terhadapnya oleh sesetengah pihak, dia berkata tuduhan tersebut tidak benar dan perkara yang paling penting ketika itu untuk membuat "keputusan yang betul dan tepat."
"Itulah keyakinan pada saya. Jadi nak kata saya pengkhianat? Saya bukan masuk DAP, PH, PKR.
“Saya dipelawa membentuk kerajaan negeri Perak walaupun saya bersiap sedia hendak jadi pembangkang. Tapi kerana PH ada 24 kerusi dan 26 (kerusi) pada PN menjadikan semuanya adalah 50.
"Dengan 50 kerusi mereka patutnya boleh menjadi kerajaan yang kuat kerana mendapat lebih dua pertiga serta tinggalkan saya untuk jadi pembangkang,” katanya pada wawancara bersama Utusan Online hari ini.
Menteri besar itu selanjutnya dipetik berkata kerajaan perpaduan BN dan PH mencari titik persamaan bagi membangunkan Perak.
“Walaupun kita berbeza parti dan ideologi politik, ia bukan bermakna kita tidak boleh bersama-sama untuk berkompromi. Paling penting kurangkan perbezaan dan cari titik pertemuan.
“Setakat ini, exco bersetuju untuk gunakan perkataan Kerajaan Negeri Perak dan bukannya istilah kerajaan PH plus BN atau sebaliknya.
"Saya yakin kita boleh berbeza pendapat. Akan tetapi dalam hal-hal membabitkan pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat, fokus harus diberikan,” katanya.
“Sekiranya kita mula cari perbezaan dan kesalahan, maka tidak tercapai hasrat untuk bangunkan negeri," jelasnya lagi.
Pada 21 Nov lalu Saarani, 61, yang juga Adun Kota Tampan, mengangkat sumpah jawatan menteri besar di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Pencalonan pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak sejak 2018 sebagai menteri besar itu dipersetujui PH dan BN selepas kedua-dua gabungan politik itu bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan negeri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai