Kos sara hidup: PM beri masa 2 minggu majlis tindakan kaji subsidi bersasar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 untuk menganalisis kesan subsidi bersasar berbanding dasar subsidi menyeluruh pada masa ini.
Anwar berkata semua kementerian dan agensi berkaitan telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat yang akan dibentangkan kepada kabinet barunya selepas ia dibentuk kelak.
"Saya tidak ada masalah dengan subsidi bagi rakyat, terutama rakyat yang susah. Tetapi dalam perbincangan kita, subsidi ini harus bersasar.
"Jika tidak, seperti harga minyak umpamanya, subsidi itu dimanfaatkan oleh rakyat dan golongan kaya.
“Jadi saya berikan mereka (majlis tindakan) tempoh dua minggu untuk cerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya itu untuk meringankan beban rakyat yang miskin.
“Tentunya golongan yang kaya dan industri tidak harus mengambil manfaat (dengan subsidi),” kata Anwar pada sidang media di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Pada masa yang sama, Anwar membayangkan akan ada insentif lain yang diperkenalkan untuk perniagaan dan industri sebagai tukaran untuk sebarang penghapusan subsidi.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 dan dia melahirkan rasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua penjawat awam yang terlibat.
Dia berkata walaupun diadakan pada hari Ahad, mesyuarat itu perlu dibuat untuk lebih memahami isu-isu berkaitan kos sara hidup yang menjadi keutamaan pentadbirannya.
Antara pegawai tinggi kerajaan yang hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus, para pegawai kanan Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai