Skip to main
Logo Malaysiakini

SEMAK FAKTA: Kenyataan media MP BN tandatangan SD sokong Anwar palsu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kenyataan media yang mendakwa ahli parlimen BN telah menandatangani akuan bersumpah (BN) menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim adalah palsu.

Dokumen yang tular di media sosial yang kononnya disediakan Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir itu, turut menyenaraikan beberapa nama pemimpin BN yang bakal dilantik sebagai menteri.

Senarai ini mencadangkan Mohamad Hasan sebagai menteri Dalam Negeri, Johari Ghani sebagai menteri kewangan, Azalina Othman sebagai menteri undang-undang, Mohamed Khaled Nordin sebagai menteri pendidikan dan Mohamad Alimin sebagai menteri kerja raya.

Kenyataan itu juga mendakwa BN berterima kasih kepada Anwar kerana melaksanakan perjanjian untuk menamakan timbalan perdana menteri dari BN, sebagai menghormati perbincangan yang berlangsung di Hotel Seri Pacific pada 21 Nov lalu.

Bagaimanapun, BN melalui hantaran Facebooknya menafikan kenyataan itu.

Anwar Ibrahim dijangka menamakan dua timbalan perdana menteri - seorang daripada BN dan seorang lagi dari Malaysia Timur.

Anwar mempunyai perjanjian dengan BN di mana pelantikan bagi jawatan kabinet, agensi kerajaan, ahli Dewan Negara dan syarikat berkaitan kerajaan perlu dipersetujui bersama oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri, sebagai sebahagian daripada 10 perjanjian yang dipersetujui PH dan BN.

Sumber BN memberitahu Malaysiakini semalam bahawa pemimpin tertinggi Umno belum mencalonkan sesiapa untuk jawatan timbalan perdana menteri. Namun, beberapa pemimpin telah menyokong Mohamad Hasan untuk jawatan itu.

Ini termasuk exco pemuda Umno Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun.


Malaysiakini adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta, JomCheck, yang terdiri daripada badan media, ahli akademik dan masyarakat sivil.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip 017-477 6659 atau melalui pautan ini.