Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PH Padang Serai minta pekerja dibenarkan keluar mengundi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon PH Dr Mohamad Sofee Razak merayu agar semua majikan, terutama dalam sektor swasta memberi kebenaran kepada pekerja untuk keluar mengundi pada PRU15 di Parlimen Padang Serai, 7 Dis ini.

Mohamad Sofee berkata perkara itu wajar dilakukan berikutan keputusan kerajaan Kedah yang tidak dapat mempertimbangkan pemberian cuti khas pada hari pengundian yang diadakan pada hari bekerja.

“Kadang-kadang kalau pekerja hendak keluar ada masalah sikit, hendak keluar masa sejam amat singkat dan mengundi ambil masa. Jadi saya memohon kepada majikan untuk benarkan pekerja-pekerja untuk mengundi dan jangan potong gaji mereka.

“Mengundi ini adalah hak rakyat Malaysia yang dijamin oleh perlembagaan, maknanya setiap warganegara perlu diberi peluang untuk mengundi,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Trak Ayuh Malaysia di Taman Selasih di Kulim, malam tadi.

Semalam, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan Kedah tidak dapat mempertimbangkan pemberian cuti khas pada hari pengundian PRU15 Padang Serai kerana ia hanya melibatkan satu kawasan Parlimen di negeri itu.

Kenyataan itu dibuat susulan cadangan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan supaya kerajaan negeri mengumumkan cuti khas pada 7 Dis ini bagi memudahkan pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka memandangkan pengundian diadakan pada hari Rabu.

Dalam pada itu, Mohamad Sofee turut merayu agar semua pengundi Parlimen Padang Serai dapat hadir awal ke pusat mengundi yang dibuka sehingga enam petang dan tempoh itu katanya mencukupi untuk mereka menjalankan tanggungjawab.

“Kebanyakan pengundi yang saya berjumpa ini, mereka bekerja dalam kawasan Padang Serai atau paling kurang di Pulau Pinang. Jadi, mereka ada masa yang cukup untuk datang dan saya harap mereka dapat datang awal,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis, berikutan kematian calon PH yang disahkan bertanding M. Karupaiya, pada 16 Nov lepas.

-Bernama