Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya tak akan tarik diri, kata calon PH Padang Serai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sofee Razak berkata Padang Serai merupakan kubu kuat PKR sejak 1999 dan parti itu memegang kerusi parlimen berkenaan sejak 15 tahun lalu.

Justeru, Mohamad Sofee berkata dia tidak akan menarik diri daripada pilihan raya kecil (PRK) Padang Serai 7 Dis ini.

“Saya menghormati pendapat C Sivaraj (calon BN) yang meminta PH menarik diri daripada saingan dan memberi sokongan kepada BN untuk memenangi PRK,” kata Mohamad Sofee semasa berkempen bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun di Kulim, Kedah hari ini.

Mohamad Sofee sebaliknya meminta BN keluar untuk menyokong PH bagi mengurangkan risiko pecah undi dan memastikan kemenangan PH pada PRK yang akan diadakan pada 7 Dis ini.

Dia juga berkata calon Perikatan Nasional (PN) Azman Nasruddin harus memohon maaf kepada Yang Di-Pertuan Agong kerana menyifatkan kerajaan perpaduan sebagai kerajaan yang derhaka.

“Ini kerana Agong telah memberi penyelesaian kepada kebuntuan akibat tiada majoriti yang jelas di kalangan gabungan dalam PRU15, yang telah menyebabkan parlimen tergantung dan Agong telah menjemput Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan di mana Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 pada Khamis lalu," katanya.