Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ke mana ghaibnya semangat 'PAS for all" dan legasi Nik Aziz?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Ini bukan tulisan main-main, memperolok apatah lagi memperlekeh PAS. Ini adalah realitinya semasa. Saya hanya hendak berkongsi pengalaman dan rasa saja.

Biar saya mulakan begini: jangan salahkan masyarakat bukan Islam jika mereka menganggap Islam versi PAS hari ini adalah sangat ekstrem lalu mereka memberi label 'Taliban'.

Mungkin bagi sesetengah Islamis, 'tidak mengapa' untuk mereka digelar Taliban demi sebuah kebenaran. Tetapi bagi saya, ia merupakan satu konotasi yang sangat menakutkan.

Baru semalam saya dihubungi oleh rakan berbangsa Cina. Mereka meminta saya agar tidak membuat hantaran di media sosial tentang makan di kopitiam, melawat ke tokong dan bermesra dengan masyarakat Cina.

Katanya, dia takut kalau-kalau saya diculik dan dipukul oleh orang Melayu yang tidak sukakan DAP!

Satu lagi cerita - saya ke tadika Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) untuk mendaftarkan persekolahan anak. Isteri saya kemudian memberitahu: "Abang duduk saja dalam kereta, biar saya berbincang dengan cikgu."

Saya berasa hairan mengapa isteri saya berkata begitu.

"Saya risau kalau-kalau mereka tahu ini anak Sheikh Omar, takut nanti diapa-apakan anak kita pula," kata isteri saya.

Mengapa dulu, kini berbeza

Saya terkedu seketika. Mungkin inilah penangan momokan DAP kononnya komunis dan disertai 'Melayu bodoh' dan 'Melayu liberal' yang dilemparkan oleh Abdul Hadi Awang.

PRU ke-15 menyaksikan politik kebencian kaum berada pada tahap tertinggi selepas ia dimainkan pihak tertentu demi mengolah sokongan pengundi.

Itu hakikat yang kita tidak boleh nafikan. Lebih menyedihkan selepas PRU berakhir pun naratif yang sama masih didendangkan dengan begitu kuat oleh PAS.

Biar saya kongsikan sedikit pengalaman peribadi. Apabila menyertai DAP, saya bergaul dengan lebih ramai rakan daripada kalangan bukan Melayu dan bukan Muslim.

Hari ini, semakin ramai kalangan mereka yang saya lihat menjadi takut dengan imej Islam yang dibawa oleh PAS.

Apabila keadaan menjadi sekeruh sekarang, ia mengimbau semula ingatan saya terhadap PAS versi Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dulu. Kenangan itu menggamit pelbagai persoalan yang terus berpusing-pusing di kepala saya.

Mengapa dahulu begitu, dan mengapa sekarang begini?

Pendekatan Almarhum Nik Abdul Aziz yang sempat saya lalui adalah jauh berbeza dari cara Abdul Hadi. Ya, amat jauh sekali.

Saya tak pasti bagaimana pengalaman anda semua khususnya 'orang lama' yang pernah berjuang dalam PAS, tapi bagi saya, ia bagaikan langit dan bumi.

Kita harus akui dalam negara majmuk seperti Malaysia, sudah pastilah sensitiviti kaum dan agama sangat mudah dipanas dan diapi-apikan. Persoalannya, mengapa Abdul Hadi memilih untuk terus memarakkan api perkauman dan keagamaan sebegini rupa?

Jika diambil kira golongan bukan Islam sebagai sasaran dakwah, mengapa seorang yang bergelar tok guru tidak mengambil pendekatan Islam yang mendamaikan?

Simpan gambar Nik Aziz

Saya lihat Abdul Hadi lebih gemar mempromosikan Islam melalui jalur yang 'menakut-nakutkan' orang lain. Golongan bukan Islam dilayan seolah-olah mereka adalah musuh, bukan mad'u.

Akhirnya masyarakat bukan Islam melihat Islam sebagai agama yang bengis, marah dan penuh dengan ancaman.

PAS di tangan Nik Abdul Aziz menghidangkan Islam ke dalam masyarakat dengan penuh hikmah, rahmah dan cukup santun. Ia berlaku ketika imej PAS sebagai parti yang berteraskan Islam tetap tidak goyah.

Saya masih ingat betapa kerasnya kenyataan mendiang Karpal Singh sewaktu Nik Abdul Aziz dan dan PAS membangkitkan isu berkaitan negara Islam dan hudud.

Ketika itu, Karpal menjadi terkenal dengan kenyataannya: “Over my dead body”. Namun Nik Abdul Aziz masih tenang dan senang dengan pendekatan ramahnya. Dia menziarahi Karpal semasa hari sambutan hari lahir tokoh DAP tersebut di Pulau Pinang.

Pendekatan Nik Abdul Aziz telah meredakan ketegangan antara kaum khususnya dalam kalangan penyokong dan pendukung kedua-dua parti.

Pada masa itu jugalah PAS kian dilihat sebagai sebuah parti yang santun terhadap semua kaum. 'PAS for all' menjadi slogan yang dijulang dan dibanggakan.

Justeru kita boleh berjumpa kaum Cina dan India yang menyimpan potret Nik Abdul Aziz sama ada di rumah, di kedai, dicetak pada baju atau di mana-mana saja.

Tak kurang juga yang menganggap Nik Abdul Aziz seolah-olah 'sami' mereka yang sangat dihormati dan disegani.

Hanya membawa kebencian

Merangkumkan sekalian banyak pendekatan yang 'rahmah' dibawa PAS era Nik Abdul Aziz, maka tidak pelik apabila ketika itu kita dapat menyaksikan bagaimana kalangan bukan Muslim membuat 'benteng manusia' bagi melindungi penyokong dan pendukung PAS bersembahyang di tengah-tengah demonstrasi Bersih, misalnya.

Ia adalah suatu imej yang sangat bersejarah dan menjadi petanda tingginya toleransi dan manhaj damai dibawa oleh PAS pada ketika itu.

Alangkah berbeza pendekatan PAS di tangan Abdul Hadi kini.

Saya tidak pasti apakah yang cuba diterapkan Abdul Hadi kepada penyokong PAS dan orang Islam di negara ini khususnya apabila hari demi hari dia berterusan mengambil pendekatan berkonfrantasi.

Apakah Abdul Hadi ingin melihat kekacauan terjadi di negara tercinta ini?

Saya yakin, dalam mana-mana kepercayaan sekalipun pasti akan ada penganutnya yang ekstrem dalam beragama. Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan mengambil jalan yang sederhana, berhikmah dan 'rahmah', ia boleh meruntuhkan kerukunan di Malaysia.

Saya tidak pasti mengapa sikap PAS boleh berubah sehingga ke tahap ini dalam konteks demokrasi kita. Saya betul-betul tidak pasti.

Tetapi atas apa alasan sekalipun, Islam versi PAS hari ini tidak seharusnya dijadikan paksi rakyat Malaysia khususnya dengan latar budaya bangsa dan kemajmukan kita.

Pendekatan PAS kini hanya akan membenihkan kekerasan, kebencian dan prejudis yang merugikan Islam.

Islam versi PAS hari ini hanya akan merencatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang harmoni, dibanggakan dan madani di mata dunia.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.