Polis diminta siasat segera rakaman audio plot 'tukar kerajaan'
Polis digesa agar menyiasat klip audio yang didakwa milik seorang ahli parlimen yang mencadangkan supaya PN cuba menyingkirkan DAP dan PKR daripada kerajaan.
Dalam laporan polisnya, seorang ahli Amanah, Mohamad Rafiq Izzuddin Mohamad Sharuddin, mendakwa individu dalam klip audio itu membayangkan suatu tindakan yang sama seperti terjadi pada akhir Feb 2020 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH pertama.
Insiden itu dikenali kebanyakan orang sebagai Langkah Sheraton.
Mohamad Rafiq berkata apa yang disebut individu terbabit dalam klip audio tersebut merujuk kepada perbuatan yang melanggar Seksyen 124C Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Klip audio sepanjang kira-kira seminit itu dimuat naik oleh pengguna Twitter dikenali sebagai @lady_bugg11 pada 25 Nov lalu iaitu sehari selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Antara lain indiviu terbabit didapati berkata: "Peristiwa yang telah berlaku sebelum ini akan berulang, kerana jumlah yang kita perolehi agak besar, dan ramai pihak yang sebenarnya tidak mahu bersama-sama dengan DAP dan dengan PKR Anwar. Kita akan mengorak langkah, mengatur strategi-strategi yang baru, untuk kita pastikan kerajaan di Malaysia ini akan dikuasai oleh PN."
Mohamad Rafiq menamakan individu terbabit sebagai Ahli Parlimen Pasir Puteh dari PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen lanjut ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Kuasa Agong lantik PM
Bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu juga belum memutuskan sama ada akan membuat laporan polis berhubung isu itu atau tidak.
Laporan polis dibuat Mohamad Rafiq siang tadi adalah satu daripada lima aduan yang dibuat terhadap beberapa tokoh PN hari ini.
Turut dilaporkan kepada polis ialah dakwaan Anwar bersekongkol dengan Israel, kenyataan calon PN Padang Serai, Azman Nasruddin, yang mendakwa kerajaan persekutuan sebagai "kerajaan zina" serta catatan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berkias mengenai "pengadil" perlawanan bola sepak "memindahkan tiang gol".
Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Asmaaliff Abdul Adam, yang mengiringi penyokong PH di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur memberitahu, tuduhan bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak adil dalam pelantikan perdana menteri adalah tidak berasas.
Katanya PH memenangi kerusi terbanyak dalam PRU lalu, justeru Agong telah melantik Anwar selaku ketua gabungan tersebut menjadi perdana menteri.
"Apabila kuasa diberikan kpd Agong untuk melihat siapa yang memperoleh majoriti, kita perlu akur kepada ketetapan perlembagaan tersebut, bukannya pandai-pandai nak menuduh Agong sebagai pengadil yang berat sebelah atau seumpamanya.
"Suatu kederhakaan yang besar apabila menuduh perkara tersebut terhadap Agong.
"Saya harap polis dapat menyiasat segera cepat supaya perkara ni tidak berulang," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai