Skip to main
Logo Malaysiakini

Mat Sabu serah soal lantikan kabinet kepada PM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkaitan lantikan ke jawatan kabinet.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan dilantik semula sebagai menteri pertahanan, Mat Sabu berkata dia juga tidak pasti mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu apa jawatan, saya tidak tahu dilantik atau tidak, serah kepada perdana menteri dan saya pun tak bertanya sampai hari ini," katanya ketika ditemui media selepas ceramah umum PRU di Rompin malam tadi.

Barisan kabinet dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok bagi membolehkan Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.

Anwar dalam sidang media di Putrajaya pada 27 November lalu dilaporkan berkata sebarang pelantikan dalam kabinetnya tidak akan dibuat sebagai ganjaran bagi mendapatkan sokongan membentuk kerajaan.

Katanya, ini selaras dengan hasrat untuk mengurangkan saiz Kabinet, dan tidak seperti di bawah pentadbiran terdahulu.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai kemungkinan wujud rasa kurang puas hati dalam kalangan ahli Amanah berikutan keputusan memberi laluan kepada BN di Tioman, Mat Sabu yakin perkara itu tidak akan menjadi isu.

"Rungutan itu perkara biasa, tapi insya-Allah kita dapat menguruskan, ini keputusan parti, bila keputusan parti, semua kena patuhlah.

"Kalau ada yang tak puas hati tu, saya ingat sementaralah, mereka akan patuh bersama dengan keputusan itu," katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan ceramahnya, Mat Sabu menyuarakan kebimbangan dengan tindakan sesetengah parti yang mula menggunakan pendekatan ekstremis selepas keputusan PRU15 lalu.

"Jangan sampai (seperti) dulu, berlaku satu ketika sampai ke peringkat mengkafirkan Umno, saya bimbang, fahaman takfiri ini muncul semula sekarang.

"Kita lihat negara-negara di dunia yang hancur di atas fahaman takfiri iaitu tak setuju dengan kita, kita kafirkan orang itu, kita sesatkan orang itu, akhirnya berlakulah seperti di Syria, di Iran, di Iraq, di Somalia, berpuluh tahun tidak selesai (pertelingkahan) antara kaum akibat fahaman seperti ini," katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut mengingatkan pimpinan PAS agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan memandangkan negara ini mempunyai pelbagai kaum dan agama.

Mat Sabu juga merujuk kepada video ucapan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang meningatkan umat Islam sama ada mahu menjadi ‘pengembala lembu’ atau ‘pengembala babi’.

"Apakah ini cara kita berpolitik di zaman ini? Perlu kita perbaiki sebab negara kita masyarakat majmuk, tersalah langkah terjerumus kepada bahaya.

"Sebab itulah bagi kita, kita kena tubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan, BN dan lain-lain untuk melawan fahaman-fahaman yang boleh merosakkan Malaysia," katanya lagi.

Ceramah umum itu adalah kali pertama dia berkongsi pentas dengan pemimpin BN yang menyaksikan pembentukan kerajaan membabitkan gabungan PH-BN dan beberapa parti lain.

Antara yang tampil dalam ceramah itu adalah pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi PH Pahang, Amiruddin Shari.