Skip to main
Logo Malaysiakini

Bagaimana BN-PH boleh kerjasama di enam PRN akan datang - Penganalisis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pilihan raya kecil Tioman malam tadi menyaksikan sesuatu yang ramai tidak sangka boleh berlaku – pemimpin BN dan PH berkongsi pentas yang sama untuk berkempen bagi calon Umno.

Peristiwa bersejarah itu berlaku selepas PH berkata akan memberi laluan kepada BN di kerusi DUN Tioman, selepas kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dan di negeri Pahang juga.

Ramai kini tertanya-tanya bagaimana rupa kerjasama BN-PH semasa pilihan raya, terutama pada enam pilihan raya negeri akan datang tahun depan.

Ujian pertama ialah Tioman sendiri, kata pengarah eksekutif Pusat Pemikir Ilham Hisomuddin Bakar (gambar, bawah).

“(Menteri Besar Pahang) Wan Rosdy semalam menyeru perpaduan antara BN dan PH bagi memastikan kestabilan politik yang berkekalan.

“Saya melihat ini sebagai satu gesaan yang munasabah kerana PRK Tioman sebenarnya boleh digunakan sebagai ujian empirikal untuk jajaran politik baru antara BN dan PH,” kata Hisomuddin ketika dihubungi Malaysiakini.

Tioman bukan sahaja menjadi medan menguji kerjasama BN dan PH, tetapi ia juga akan menilai sama ada pengundi di sana boleh menerima gabungan sedemikian atau tidak, katanya.

PH dan BN terpaksa bekerjasama selepas parlimen tergantung akibat keputusan PRU15 yang menyaksikan PH meraih 82 kerusi, PN 73 kerusi dan BN menang 30 kerusi.

Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, gabungan selepas pilihan raya dibentuk terdiri daripada PH, BN serta GPS, GRS dan Warisan, untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru. PH dan BN juga bekerjasama di Perak dan Pahang untuk membentuk kerajaan negeri.

Terdapat banyak cara kerjasama baru antara BN dan PH yang boleh dilaksanakan pada pilihan raya akan datang.

Pilihan raya negeri Sabah pada 2020 menunjukkan satu kemungkinan senario yang boleh berlaku, kerana BN dan PN – yang bekerja bersama di peringkat persekutuan pada masa itu – bekerjasama untuk berunding mengenai kerusi di Sabah di bawah BN Sabah dan GRS.

Di sebalik pakatan pilihan raya, BN dan GRS akhirnya bertembung di beberapa kerusi kerana calon yang tidak berpuas hati atau rundingan gagal pada saat-saat akhir.

Penganalisis politik Universiti Malaya Awang Azman Pawi (gambar, atas) berkata masa depan kerjasama BN-PH akan bergantung kepada sejauh mana kedua-dua gabungan itu dapat menyelesaikan rundingan kerusi mereka untuk enam pilihan raya negeri akan datang pada tahun depan.

“(Rundingan kerusi) akan menjadi petunjuk tahap kestabilan politik di negeri-negeri ini.

"Adalah sangat mustahak untuk membuat keputusan mengenai formula bagaimana mengagihkan kerusi, kerana ia akan menjejaskan bukan sahaja negeri di bawah BN dan PH tetapi juga kestabilan kerajaan persekutuan," kata Awang.

Sebaliknya, saintis politik Wong Chin Huat (gambar, bawah) berkata dia tidak bersetuju jika BN dan PH menjadi gabungan tetap.

Sebaliknya, dia mencadangkan BN dan PH dalam jangka masa sederhana membangunkan "perbezaan sihat" dan bersaing secara mesra antara satu sama lain di beberapa kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, buat masa ini, Wong berkata adalah bijak bagi BN dan PH untuk meletakkan satu senarai calon “terutamanya Umno” di tiga negeri pimpinan PN yang menghadapi pilihan raya tahun depan.

“Jika BN dan PH menjadi gabungan tetap dan pengundi dibiarkan dengan pilihan binari BN-PH dan PN, maka PN mungkin mudah berkembang sebagai alternatif kepada BN-PH.

“Jika BN dan PH terlalu rapat antara satu sama lain, sama ada salah satu atau kedua-dua pihak akan kehilangan daya tarikan mereka terhadap sokongan teras di kawasan pilihan raya mereka.

“Untuk menewaskan PN, BN mesti membangunkan beberapa perbezaan yang sihat daripada PH, jika boleh, untuk membiarkan pertandingan mereka menarik perhatian pengundi dan tumpuan PN,” jelas Wong.

Tidak semua orang bersetuju dengan pemikiran Wong bahawa kerjasama BN-PH cuma penyelesaian jangka pendek terhadap PN.

Felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan (gambar, bawah) berkata kebangkitan PN atau lebih khusus PAS ada "hikmahnya" kerana ia memaksa BN dan PH bekerjasama.

“BN dan PH sedar jika mereka tidak bekerjasama maka kemaraan PN atau PAS selepas PRU15 akan menjadi lebih nyata,” katanya.

Menyebut perpaduan BN-PH sebagai kerjasama yang baik, katanya dia berharap ia akan bertahan lama selepas PRU15 kerana percaya kerjasama BN dan PH itu akan membawa kebaikan kepada negara.

“Saya melihat PH hampir sama dengan BN beberapa dekad lalu, kerana ia terdiri daripada semua kaum utama dari Semenanjung Malaysia.

"Jika mereka boleh bekerjasama, mereka benar-benar boleh menjadi kuasa yang perlu diperhitungkan," katanya.

Enam negeri yang dijadualkan mengadakan pilihan raya tahun depan ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu."

[Baca berita asal]