Anwar harap dapat umum kabinet 'dua, tiga hari' lagi
Di tengah-tengah spekulasi sengit mengenai barisan kabinetnya yang akan datang, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia berharap pengumuman itu dapat dibuat dalam masa beberapa hari lagi.
"Kita terpaksa bergegas menyelesaikan masalah dengan semua komponen parti kerana kita harus segerakan untuk membentuk barisan jemaah menteri supaya diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan dapat kita umumkan, kalau boleh, dalam masa dua, tiga hari ini. Insyallah.
"Setakat ini hampir seluruhnya sudah hampir beres dan saya akan cerakin, berkemaskini.
“Lepas cerakin kita telusi, meneliti, dan menelaah,” katanya pada majlis perhimpunan bersama aktivis Reformasi, berdasarkan video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Anwar menjelaskan hampir keseluruhan barisan kabinetnya sedang dimuktamadkan dan dia akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 8 pagi esok.
Selepas itu, perdana menteri akan bergerak ke Perak bagi menghadiri majlis “kenduri rakyat” di Ipoh, Perak esok.
Acara itu akan berlangsung pada 1.45 tengah hari di Masjid Muhammad Al-Fateh di Taman Jati, Ipoh - dalam kawasan Tambun, yang kini diwakili Anwar.
Menurut jemputan akhbar yang dihantar oleh Jabatan Penerangan Perak, Anwar akan menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Pada Jumaat lalu, ketika sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan yang dipimpinnya akan mempunyai saiz kabinet yang lebih kecil.
Dia juga dilaporkan berkata akan mencadangkan agar gaji menteri dikurangkan susulan iklim ekonomi negara yang tidak menentu dan dengan rakyat jelata yang berdepan kesukaran.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai