Skip to main
Logo Malaysiakini

Tubuh suruhanjaya siasat dakwaan DAP promosikan Islamofobia - Lim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Susulan dakwaan berterusan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan parti itu bahawa DAP dan sekutunya mempromosikan Islamofobia, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat parti-parti politik yang mempromosikan ideologi sedemikian di negara ini.

Veteran DAP itu berkata suruhanjaya itu perlu menjemput Hadi dan pemimpin PAS lain untuk mengemukakan bukti dakwaan mereka bahawa DAP dan sekutunya mempromosikan Islamofobia.

Saya cadangkan Kerajaan Persekutuan untuk membentuk sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada panel pakar Islam dan bukan-Islam untuk menerbitkan sebuah laporan mengenai sama ada wujudnya parti politik yang mempromosikan Islamofobia dan juga untuk mengkaji isu Islamofobia dan fobia terhadap mana-mana agama, terutamanya dari sudut matlamat Rukun Negara untuk ‘mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat’.

“Jawatankuasa ini juga patut menjemput Presiden PAS, Hadi Awang, dan juga para pemimpin PAS yang lain untuk memberikan kerjasama dengan membuktikan pertuduhan-pertuduhan mereka terhadap DAP dan PKR yang dikatakan sebagai mempromosikan Islamofobia ini,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim merujuk kepada artikel yang diterbitkan hari ini oleh organ PAS Harakah yang mendakwa “dasar sekular DAP dan liberal PKR mewujudkan Islamofobia”. 

Katanya, tidak ada sebarang asas pun terhadap dakwaan itu, tetapi memandangkan PAS telah membuat tuduhan berkenaan secara terbuka dan berulang kali, ia harus dipandang serius dengan membentuk jawatankuasa seperti yang dicadangkannya.

Selain meneliti Islamofobia di negara ini, suruhanjaya itu juga perlu membuat syor tentang cara mengelakkan Malaysia daripada “terpolarisasi dan terpecah belah dengan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan”, kata Lim.

Menurutnya, parti yang menerima sepenuhnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kini dituduh sebagai Islamofobia.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam adalah agama persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.

Lim bekata ini adalah isu mendesak yang patut mendapat perhatian mesyuarat pertama kabinet baru di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebaik sahaja ia dibentuk.