Skip to main
Logo Malaysiakini

Tujuh menteri dari Sabah, Sarawak dalam kerajaan baru

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelantikan Fadillah Yusof sebagai seorang daripada dua timbalan perdana menteri dalam kabinet melakar sejarah baru apabila dia menjadi ahli parlimen pertama dari Sarawak menjawat jawatan itu.

Lantikannya diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media pengumuman barisan Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya malam tadi.

Fadilah, 60, yang merupakan naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut memegang portfolio sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Dia antara tujuh ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota jemaah menteri terdiri daripada lima wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dua dari Sabah iaitu masing-masing daripada PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Empat wakil GPS adalah Alexander Nanta Linggi yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya, Tiong King Sing (Menteri Pelancongan), Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

Dua menteri dari Sabah adalah Ewon Benedick daripada PH yang menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Armizan Mohd Ali daripada GRS pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Sementara itu, perdana menteri turut mengumumkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang lagi timbalan perdana menteri dalam senarai 28 anggota jemaah menteri.

Anwar turut memaklumkan senarai timbalan menteri akan diumumkan kemudian.

Kabinet baru yang diumumkan malam tadi dijadualkan mengangkat sumpah jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

-Bernama