Skip to main
Logo Malaysiakini

Chong perjelas kenapa wakil DAP S'wak tiada dalam kabinet

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menjelaskan ketiadaan wakil parti negeri itu dalam barisan kabinet kerajaan persekutuan yang diumumkan malam tadi.

“Kami dimaklumkan bahawa terdapat segelintir pihak yang berkeras untuk mengenepikan ahli parlimen daripada DAP Sarawak daripada kabinet, sebagai pertukaran atas sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

"Kami faham bahawa demi kepentingan umum kestabilan dan sokongan yang lebih kukuh, perdana menteri telah bersetuju dengan tuntutan tersebut," kata Chong, yang juga ahli parlimen Stampin pada satu kenyataan di Facebook hari ini.

Chong yang juga pengerusi PH Sarawak menegaskan perjuangan DAP bukan untuk jawatan menteri, tetapi melihat cita-cita mereka dilaksanakan sebagai dasar untuk kebaikan negara dan rakyatnya.

Katanya, DAP melalui inisiatifnya dapat menghalang Bersatu dan PAS daripada membentuk kerajaan persekutuan.

"Kami berupaya berbuat demikian apabila berjaya meyakinkan GPS untuk menukar sokongan awalnya kepada (Pengerusi PN) Muhyiddin (Yassin) sebagai perdana menteri, kepada Anwar."

Menurutnya, DAP akan terus memainkan peranannya untuk memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus yang baik dilaksanakan dalam kerajaan baru.

“Kami menyeru ahli dan penyokong kami supaya tidak kecewa dengan ketiadaan mana-mana ahli parlimen daripada DAP Sarawak dalam kabinet menteri.

"Walaupun ada sesetengah pihak yang mahukan DAP Sarawak dilemahkan dan dihapuskan, kita harus bekerja lebih keras untuk memastikan bukan sahaja kita tidak akan lemah malah kita akan terus bertambah kuat," kata Chong lagi.