Warisan: Hormati prerogatif PM untuk lantik menteri
Semua pihak harus menghormati prerogatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam melantik barisan ahli kabinet kerajaan, kata Ketua Penerangan Warisan Mohd Azis Jamman.
Mohd Azis berkata dia faham ada segelintir penyokong Warisan yang kecewa kerana tiada representasi parti itu di dalam Kabinet, namun dalam hal ini katanya parti itu wajar membuktikan kepada rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, bahawa Warisan bukanlah parti yang mengejar jawatan semata-mata.
Sebaliknya, dia berkata Warisan adalah parti yang berprinsip pada asas perjuangannya yakni mengutamakan tuntutan kepada hak-hak Sabah.
“Fokus seharusnya perlu diberikan kepada usaha untuk membantu rakyat kerana ramai rakyat yang terkesan dengan kegawatan ekonomi negara yang agak membimbangkan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas ahli parlimen Sepanggar itu berkata perdana menteri wajar diberi masa dan peluang untuk mengurus pentadbiran negara, menjayakan reformasi dan menunaikan serta melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagaimana dijanjikan kepada rakyat.
“Masa akan menentukan sama ada janji akan terkota,” katanya.
Mengucapkan tahniah kepada semua barisan kabinet yang telah dilantik, Mohd Azis berharap para penyokong Warisan dapat terus tenang dan bersabar.
“Hari ini Warisan sudah berada di pihak kerajaan persekutuan walaupun dengan jumlah yang jauh lebih kecil, namun kita tidak sewajarnya menjadikan itu sebagai alasan untuk kita patah semangat,” katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai