Skip to main
Logo Malaysiakini

'Hukum wanita hamil luar nikah boleh tingkatkan kes buang bayi'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keputusan DUN Terengganu untuk menjadikan kehamilan luar nikah sebagai jenayah bukanlah satu langkah yang menangani punca sebenar isu tersebut, menurut Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA).

MPA juga membangkitkan kebimbangan langkah menghukum seperti itu akan menghindarkan kalangan yang hamil luar nikah untuk mendapatkan pertolongan, sebaliknya mungkin cuba untuk menggugurkan kandungan dengan cara yang tidak selamat.

"Langkah menjenayahkan wanita hamil luar nikah ini gagal melihat gambaran lebih besar masalah sosial ini, dan akan beri kesan buruk kepada wanita dan kandungan mereka," kata jawatankuasa eksekutif MPA dalam kenyataan hari ini.

MPA berkata masalah itu biasanya melibatkan remaja dan ia disebabkan banyak faktor.

Katanya, golongan remaja mendapatkan maklumat berkenaan hubungan seks dari sumber yang boleh dipercayai, seperti kawan-kawan dan filem lucah, ekoran kurangnya program pendidikan reproduktif yang menyeluruh.

Persatuan itu memetik satu tinjauan melibatkan golongan berusia 13 hingga 17 tahun - dengan 7.3 peratus responden sudah pun melakukan hubungan seks, sementara 35 peratus remaja perempuan merasakan mereka tidak akan mengandung selepas kali pertama melakukannya.

Ia menyebabkan kadar kes buang bayi semakin meningkat, kata MPA.

Walaupun polis menyatakan secara purata ada 100 kes buang bayi setahun, MPA berkata mungkin banyak lagi kes yang tidak dilaporkan dan tidak dikesan, bayi diberi kepada keluarga angkat secara tidak sah, dan pengguguran secara haram yang bahaya.

"Kehamilan yang tidak diingin dan pengabaian kanak-kanak adalah masalah nyata di Malaysia. Pasangan ibu dan bapa mungkin telah buat 'kesilapan' tetapi bayi itu tidak bersalah.

"Dia tidak memilih untuk dilahirkan di luar nikah dan tidak patut dihukum dengan diabaikan dan dibiarkan untuk mati. Matlamat lebih tinggi dalam pindaan Syariah seharusnya untuk melindungi hak untuk nyawa, akal dan keturunan," kata MPA.

Pada Khamis lalu, DUN Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001, yang memasukkan empat seksyen baru.

Empat seksyen itu adalah Seksyen 3A (perbomohan dan sihir), 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah), 33A (wanita menyerupai lelaki) dan 36A (persediaan melakukan liwat).

Menurut Seksyen 29A, wanita beragama Islam yang didapati bersalah hamil atau melahirkan anak luar nikah boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

[Baca berita asal]