Skip to main
Logo Malaysiakini

PH Johor tak akan cadang ubah komposisi eksekutif k'jaan negeri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PH Johor tidak akan mencadangkan apa-apa perubahan dalam komposisi eksekutif kerajaan negeri, persidangan DUN Johor diberitahu hari ini.

Ketua Pembangkang Liew Chin Tong berkata PH Johor menerima keputusan PRN Johor Mac lepas yang memberikan BN kekuatan majoriti dua pertiga dalam DUN Johor.

Liew berkata bagaimanapun, PH Johor mencadangkan kerajaan negeri memperkukuh kerjasama dwipartisan dengan blok pembangkang di DUN Johor demi kesejahteraan Bangsa Johor.

"PH Johor komited serta bersikap terbuka mencadangkan kerjasama dengan kerajaan Johor dan kerajaan Persekutuan dalam usaha memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya, terutama dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan.

"Dengan mengambil kira keputusan PRU15 dan persefahaman yang membolehkan wujudnya kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, PH Johor dengan rendah diri mencadangkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan kerajaan negeri agar memperkukuhkan kerjasama dwipartisan antara kerajaan negeri dengan pembangkang DUN Johor demi kesejahteraan Bangsa Johor," katanya.

Liew (DAP-Perling) yang juga pengerusi DAP Johor berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri, hari ini.

PRN Johor diadakan pada 12 Mac dengan BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pada PRN itu, PH memenangi 11 kerusi, diikuti PN (tiga), PKR dan Muda masing-masing satu kerusi.

-Bernama