Skip to main
Logo Malaysiakini

Bertemu Muhyiddin, Syed Saddiq nafi sokong PN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dia kini menyokong Presiden PN Muhyiddin Yassin.

Ia selepas dia memuat naik gambar bersama presiden Bersatu itu di media sosial hari ini.

Apabila dihubungi, Syed Saddiq berkata dia telah terlibat dengan libat urus dwipartisan sejak dia masih menjadi sebahagian daripada PH selepas PRU 2018.

"Saya nyatakan tujuan pertemuan (dalam hantaran di media sosial). Saya telah membuat (perhubungan) dwipartisan sejak saya dalam kerajaan dan ketika saya jadi pembangkang.

"Kini, saya kembali bersama kerajaan," katanya.

Dia menambah: "Dan saya telah nyatakan hal ini beberapa kali. Bagaimana (ada kata saya kini sokong PN)?"


Syed Saddiq jumpa Muhyiddin, umum sokong prinsip dwipartisan


Syed Saddiq pernah menjadi ketua Pemuda Bersatu pimpinan Muhyiddin sebelum ini.

Dalam hantaran di Instagram, bekas menteri belia dan sukan itu menegaskan dia adalah seorang penyokong tegar prinsip dwipartisan.

“Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik,” katanya.

Dia turut mengajak ke arah pembinaan semula Malaysia dengan maruah dan integriti.

"Pilihan raya sudah tamat, kini masa untuk fokus berkhidmat. Walaupun ada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepada Muhyiddin tetap kekal.

“Hormat kawan dan lawan. Dua jam berbual, catching up on life after elections," katanya lagi.