Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadi mahu polis turut siasat pihak lain hina Islam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi merakamkan kenyataannya susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Selepas kenyataannya dirakamkan selepas sejam setengah, Hadi kemudiannya pada sidang medianya, mendesak pihak polis supaya turut menyiasat pihak lain yang mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama Islam di negara dengan segera.

"Kerajaan baru ini sangat proaktif (siasat ) ke atas saya, tapi saya beritahu polis, giliran pihak lain dalam Pakatan Harapan yang sentuh Islam agar disiasat juga.

"Siasat secara adil dan saksama. Kita tunggu dan lihat nanti," katanya kepada pemberita di perkarangan IPD Sentul, hari ini.

Hadi turut berkata dia kini menjadi sasaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila ditekan dan disiasat oleh polis.

"Saya dipanggil untuk dirakam keterangan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berkaitan beberapa laporan polis yang dibuat serta memberi penjelasan kepada beberapa soalan yang diajukan.

"Saya sudah bersedia untuk tindakan selanjutnya sama ada ke mahkamah atau sebagainya. Kini giliran saya pula disiasat," katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata dia telah memberikan kerjasama penuh kepada polis.

Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat ke atas presiden PAS itu berikutan dakwaannya bahawa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa.

Ahli Parlimen Marang itu juga didakwa memfitnah orang bukan Islam.

Ekoran daripada itu, beberapa pihak menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap Hadi yang menyifatkan kenyataan berbaur hasutan itu boleh mengancam perpaduan negara.

Pemimpin PAS memperhebatkan serangan bermotifkan perkauman dan agama terhadap kerajaan selepas PN gagal menawan Putrajaya sejurus PRU15.

Malah, ini sehingga menyaksikan Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.

Sementara itu, peguam yang mewakili Hadi, Wan Rohaimi Mohd Daud menegaskan bahawa keterangan telah diambil di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Laporan polis dibuat di IPD Sentul, Dang Wangi dan Alor Setar Kedah dan Haji Abdul Hadi Awang baru sahaja selesai memberikan keterangan hasil laporan polis itu dan saya tak pasti jumlah laporan yang dibuat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian Perkhidmatan," katanya lagi.